Rabu, 23 November 2022 | 9:28am
Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengagihkan bantuan makanan kepada kanak-kanak di kem perlindungan sementara di Cianjur, Jawa Barat, yang dilanda gempa bumi. - Foto REUTERS
Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengagihkan bantuan makanan kepada kanak-kanak di kem perlindungan sementara di Cianjur, Jawa Barat, yang dilanda gempa bumi. - Foto REUTERS

Kematian akibat gempa bumi di Indonesia meningkat kepada 268 mangsa

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) melawat bandar Cugenang di daerah Cianjur, lokasi pusat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter yang mengorbankan 268 orang.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, melawat penduduk yang terjejas akibat dilanda gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat - Foto EPA
Presiden Indonesia, Joko Widodo, melawat penduduk yang terjejas akibat dilanda gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat - Foto EPA

Beliau mengarahkan agensi mencari dan menyelamat (SAR) untuk memindahkan serta mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh.

Presiden Indonesia itu turut berikrar membantu daerah berkenaan untuk membina semula infrastruktur selain mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas dalam bencana pada Isnin lalu di wilayah Jawa Barat itu.

Mangsa akan menerima maksimum 50 juta rupiah (RM14,600) setiap seorang untuk membaiki rumah mereka yang rosak, kata Jokowi selepas melawat pusat perlindungan menempatkan ratusan orang yang kehilangan tempat tinggal.

Anggota penyelamat membawa keluar mayat dari sisa runtuhan bangunan yang musnah akibat gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, Indonesia. - Foto REUTERS
Anggota penyelamat membawa keluar mayat dari sisa runtuhan bangunan yang musnah akibat gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, Indonesia. - Foto REUTERS

Menurut kenyataan akhbar, Jokowi meninjau kawasan yang terjejas selain bertemu dengan masyarakat tempatan.

Beliau diiringi Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy dan Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil.

Sementara itu, Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Suharyanto, dalam taklimat maya berkata selain 268 kematian terdapat 1,083 orang cedera dan 151 masih hilang berdasarkan data yang dikumpul setakat 5 petang waktu tempatan kelmarin.

Lebih 56,362 orang ditempatkan di pusat pemindahan selepas 21,282 rumah rosak termasuk kira-kira 6,570 yang runtuh.

Seorang lelaki yang cedera akibat gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, Indonesia menerima rawatan dalam kem sementara di tempat letak kereta sebuah hospital di Cianjur. - Foto AP
Seorang lelaki yang cedera akibat gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, Indonesia menerima rawatan dalam kem sementara di tempat letak kereta sebuah hospital di Cianjur. - Foto AP

Kedutaan Malaysia di Jakarta dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas.

Pusat AHA turut menawarkan bantuan kepada BNPB dan mengesahkan kesediaannya untuk menyokong pihak berkuasa.

Sistem pemantauan dan tindak balas bencana pusat itu menganggarkan 3.29 juta orang, 981,500 isi rumah dan infrastruktur bernilai US$12.2 bilion RM56 bilion) rosak akibat gempa itu, menurut AHA dalam kemas kini terkininya. - BERNAMA

Berita Harian X