Selasa, 22 November 2022 | 6:42pm
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin membangkitkan kebimbangan mengenai tingkah laku 'berbahaya' Beijing. - Foto AGENSI
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin membangkitkan kebimbangan mengenai tingkah laku 'berbahaya' Beijing. - Foto AGENSI

Ketua Pentagon bangkitkan kebimbangan tingkah laku 'berbahaya' Beijing

PHNOM PENH: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin menekankan keperluan untuk meningkatkan komunikasi krisis semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya, Menteri Pertahanan China, Jeneral Wei Fenghe.

Pertemuan kira-kira 90 minit di Kemboja, yang disifatkan sebagai 'produktif dan profesional' itu adalah yang pertama sejak lawatan Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi ke Taiwan pada Ogos hingga menimbulkan kemarahan China.

Jurucakap Pentagon, Brigadier Jeneral Pat Ryder, berkata dalam pertemuan dengan Fenghe, Austin membincangkan kepentingan 'dialog substantif untuk mengurangkan risiko strategik dan meningkatkan operasi keselamatan'.

Austin membangkitkan kebimbangan mengenai tingkah laku yang semakin berbahaya oleh pesawat PLA (Tentera Pembebasan Rakyat China) di rantau Indo-Pasifik yang boleh meningkatkan risiko kemalangan," katanya.

Pada Jun lalu, sebuah pesawat pejuang China secara berbahaya memintas pesawat pengawasan tentera Australia di wilayah Laut China Selatan, menurut Jabatan Pertahanan Australia.

Australia berkata, jet China itu terbang sangat dekat di hadapan pesawat RAAF dan mengeluarkan 'sekam' yang mengandungi kepingan kecil aluminium yang termasuk ke dalam enjin pesawat Australia.

Seorang pegawai kanan pertahanan AS yang enggan namanya didedahkan, berkata Austin dan Fenghe mengadakan perbincangan 'panjang' mengenai Taiwan dan hasrat untuk memulakan semula beberapa mekanisme yang sudah dibatalkan selepas lawatan Pelosi.

"Terdapat jangkaan bahawa akan ada beberapa mekanisme yang sudah dibekukan sejak enam bulan lalu," kata pegawai itu.

Hubungan antara China dan AS menjadi tegang, dengan pergeseran antara dua ekonomi terbesar dunia itu berhubung segala-galanya daripada Taiwan, hak asasi manusia China hinggalah aktiviti ketenteraannya di Laut China Selatan. - REUTERS

Berita Harian X