BANGKOK: Pemimpin dunia mula tiba di Thailand, hari ini, menjelang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-29 bagi membincangkan cara membawa rantau itu ke arah pemulihan ekonomi yang mampan dan inklusif selepas pandemik COVID-19.
AELM yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, adalah sidang kemuncak bersemuka pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun.
Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern; Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida; dan Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck Soo, ialah antara pemimpin yang tiba untuk menghadiri mesyuarat itu serta melawat Thailand.
Pemimpin lain yang turut tiba ialah Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; dan Sultan Hassanal Bolkiah daripada Brunei.
Malaysia diwakili oleh Wakil Khas Perdana Menteri, iaitu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga tiba, hari ini.
Sidang kemuncak bertema 'Terbuka. Sambung. Seimbang" akan berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Ratu Sirikit (QSNCC) di Bangkok.
Terdahulu Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha, pada acara perniagaan prasidang kemuncak berkata keutamaan APEC akan dipandu oleh Ekonomi Bio-Circular-Green (BCG) yang diperkenalkan Thailand sebagai strategi pemulihan daripada COVID-19, serta pelan tindakan untuk pertumbuhan dalam jangka panjang yang lebih seimbang, mampan dan inklusif.
"Ekonomi BCG mensinergikan pendekatan biopekeliling dan ekonomi hijau, menggunakan teknologi dan inovasi baharu untuk mencipta nilai, meningkatkan kecekapan sumber dan menggalakkan kelestarian alam sekitar," katanya pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2022.
Di luar acara, Jinping turut dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Kishida.
Malam ini, pemimpin dan wakil kerajaan menghadiri Majlis Makan Malam Gala yang dihoskan oleh Prayuth di Dewan Persidangan Tentera Laut Diraja Thai.
Esok, pemimpin APEC akan menghadiri Pemukiman AELM Ke-29 dan Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC mengenai Menggalakkan Perdagangan dan Pelaburan Mampan antara APEC dengan Rakan Dagangan.
Pemimpin dan wakil akan menghadiri Dialog bersama ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).
Pemimpin ekonomi APEC juga akan bertemu Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn.
Pada penghujung AELM, pemimpin dijangka menyokong Deklarasi Pemimpin Ekonomi APEC 2022 serta menerima pakai Matlamat Bangkok mengenai Bio Circular-Green Economy yang akan melakar laluan rantau ini ke arah pertumbuhan yang mampan dan inklusif. – BERNAMA