NUSA DUA: Pemimpin ekonomi utama Kumpulan 20 (G20) membuka rundingan pada hari ini selepas sesi terakhir oleh tuan rumah, Indonesia, yang memberi tumpuan kepada tindakan membantu pemulihan ekonomi global.
Namun, terdapat keretakan ketara dalam kalangan pemimpin G20 dengan sebahagian besar menumpukan kepada isu pencerobohan Russia di Ukraine, yang memberi kesan secara langsung terhadap pelbagai isu global lain.
G20, yang merangkumi negara dari Brazil hingga India, Arab Saudi dan Jerman, menyumbang lebih daripada 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia dan 75 peratus daripada perdagangan antarabangsa.
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), merayu kepada pemimpin negara terkaya dunia untuk bersatu sekurang-kurangnya dalam hal ekonomi, ketika perang Ukraine dan lonjakan inflasi global membayangi sidang kemuncak itu.
"Kami berharap sidang kemuncak G20 dapat menyampaikan perkongsian konkrit yang boleh membantu dunia dalam pemulihan ekonominya," katanya selepas pertemuan dua hala dengan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Jokowi turut meminta Suruhanjaya Eropah dan blok G7 untuk memberi 'sokongan dan keanjalan' supaya sidang kemuncak itu boleh menghasilkan keputusan konkrit.
Terdahulu, beberapa pemimpin Barat menggesa sidang itu diboikot dan menarik balik jemputan kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, namun Indonesia menentang.
Bagaimanapun, Putin tidak hadir dan digantikan oleh Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dijangka berucap pada sidang itu melalui pautan video pada hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, yakin Putin akan mendengar suara bantahan global terhadap tindakannya dan menggesa G20 menyelaraskan tindakan bagi menangani ketidakstabilan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup berikutan pencerobohan Russia.
Presiden Majlis Eropah (EC), Charles Michel, turut mengkritik Russia kerana mencetuskan krisis tenaga dan makanan global 'tanpa provokasi' peperangan.
"Kami akan cuba menggunakan mesyuarat G20 untuk meyakinkan semua rakan kongsi untuk memberi lebih banyak tekanan ke atas Russia," katanya. - REUTERS