Ahad, 13 November 2022 | 6:13pm
Anggota delegasi tiba ke majlis pelancaran Dana Pendemik pada Mesyuarat Bersama Kedua Kementerian Kesihatan dan Kewangan G20 di Bali, Indonesia. - Foto AP
Anggota delegasi tiba ke majlis pelancaran Dana Pendemik pada Mesyuarat Bersama Kedua Kementerian Kesihatan dan Kewangan G20 di Bali, Indonesia. - Foto AP

Menteri G20 lancar dana pandemik bernilai bilion dolar

NUSA DUA: Menteri Kesihatan dan Menteri Kewangan Kumpulan 20 (G20) hari ini melancarkan dana AS$1.4 bilion (RM6.48 bilion) di Bali, Indonesia, sebagai persediaan menangani pandemik global yang seterusnya.

ia dilancarkan oleh Presiden negara tuan rumah, Joko Widodo (Jokowi), menjelang pertemuan pemimpin blok itu bagi menghadiri sidang kemuncak di pulau peranginan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah yang ada setakat ini tidak mencukupi sebagai dana 24 negara yang dilihat sebagai salah satu penyelesaian awal global menjelang sidang kemuncak esok hingga Khamis.

Dana terbabit dilancarkan pada sidang akhbar hari ini dengan pembukaan sidang kemuncak itu akan disempurnakan Jokowi, diikuti ucapan oleh Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus dan Presiden Bank Dunia, David Malpass.

"G20 bersetuju menyelaras dana pandemik untuk mencegah dan bersedia menghadapi pandemik.

Penderma daripada ahli G20 dan bukan G20, serta pertubuhan dermawan, menyumbang kepada dana itu, namun Jokowi berkata ia masih tidak mencukupi.

Beliau berkata, AS$31 bilion (RM143.45 bilion) diperlukan untuk menangani pandemik global yang berikutnya.

"Kita mesti memastikan daya tahan komuniti dalam menghadapi pandemik supaya ia tidak lagi boleh meragut nyawa dan memusnahkan ekonomi global," katanya.

Katanya, Amerika Syarikat (AS) menyumbang AS$450 juta (RM2.08 bilion) kepada dana itu, hampir satu pertiga daripada jumlah keseluruhan.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen, berkata dana bersama itu adalah contoh perkara yang boleh dilakukan oleh G20 untuk menangani masalah global.

"Saya berbangga dengan apa yang kami capai. Saya merasakan langkah yang kami ambil tahun ini akan membantu menyampaikan visi seni bina kesihatan global yang lebih sihat dan responsif," katanya.

Pada satu ketika lalu, Indonesia menjadi pusat epidemik COVID-19 susulan lonjakan penularan coronavirus varian Delta yang melanda negara itu pada pertengahan 2021.

Sistem kesihatannya dibebani dengan jumlah jangkitan yang ketara dan Jakarta mengeluarkan vaksin buatan sendiri selepas negara maju melambakkan vaksin untuk kegunaan rakyat sendiri.

Selain AS yang menjadi penderma utama, negara lain yang turut memberikan sumbangan adalah Britain, India, China, Perancis, Kanada, Australia dan Jepun.

Sementara itu, Malpass menggesa lebih banyak negara untuk komited menyumbang kepada dana pandemik itu, yang berupaya membantu menjadikan dunia lebih selamat.

"Kami mengadakan mesyuarat ketika dunia menghadapi pelbagai krisis... dana baharu ini adalah alat penting yang akan menyokong negara berpendapatan rendah dan sederhana untuk lebih bersedia menghadapi krisis kesihatan global," katanya

Sementara itu, Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dalam sidang akhbar semalam, menyatakan Arab Saudi dijangka menyumbang kepada dana itu, tanpa menyatakan jumlahnya. - AFP

Berita Harian X