Ahad, 13 November 2022 | 1:59pm
Pandangan umum menunjukkan ketua negara, diplomat dan ahli media di forum Dialog Global ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh. - Foto AFP
Pandangan umum menunjukkan ketua negara, diplomat dan ahli media di forum Dialog Global ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh. - Foto AFP

AS, ASEAN jalin usaha sama strategik baharu

PHNOM PENH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pemimpin ASEAN semalam mengumumkan permulaan perkongsian strategik baharu yang bertujuan untuk menangani pengaruh China yang semakin meningkat di rantau itu.

Diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-10 di Phnom Penh, Kemboja, Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-AS bertujuan membuka bidang kerjasama baharu yang penting demi kemakmuran dan keselamatan masa depan gabungan 1 bilion penduduk kami, menurut deklarasi yang dikeluarkan.

Rumah Putih berkata, perkongsian baharu itu termasuk AS$150 juta (RM694.1 juta) dalam program untuk ASEAN yang akan digabungkan dengan lebih AS$800 juta (RM3.7 bilion) yang telah dipohon pada tahun fiskal 2023 untuk program dua hala di negara anggota ASEAN.

Lebih AS$12 bilion (RM55.5 bilion) bantuan pembangunan, ekonomi, kesihatan dan keselamatan telah disalurkan oleh AS kepada anggota ASEAN sejak 2002.

Perkongsian itu mencerminkan 'komitmen mendalam Pentadbiran Biden-Harris terhadap peranan utama ASEAN di rantau Indo-Pasifik', United Press International (UPI) memetik kenyataan yang dibacakan, sambil menambah bahawa ia membawa Washington dan anggota ASEAN lebih dekat untuk bersama-sama menangani cabaran berkaitan iklim, jaminan makanan dan ancaman keselamatan, 'serta membina Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, stabil dan makmur, berdaya tahan dan selamat'.

Kepentingan bersama ekonomi seperti penyelidikan kenderaan elektrik, tenaga hijau, ketersambungan yang lebih luas dan pembangunan mampan akan ditekankan di bawah perjanjian itu, katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika Biden tiba di Phnom Penh semalam susulan kehadirannya pada sidang kemuncak iklim COP 27 di Mesir dan bertemu Perdana Menteri Kemboja yang juga Pengerusi ASEAN 2022, Hun Sen.

"Selain membincangkan perkongsian strategik baharu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan krisis di Myanmar dan tindak balas ASEAN, menggariskan peranan penting masyarakat antarabangsa dalam mempromosi usaha mengembalikan demokrasi dan kestabilan di negara itu," kata Rumah Putih.

Biden juga 'menyatakan penghargaannya kerana Kemboja menaja bersama resolusi menyokong Ukraine menentang pencerobohan kejam Russia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut kenyataannya yang dibacakan pada mesyuarat itu. - BERNAMA

Berita Harian X