Ahad, 13 November 2022 | 10:57am
Peguam bela hak asasi manusia Kemboja-Amerika, Theary Seng (kiri) dalam gambar yang diambil pada 14 Januari 2021. - Foto AFP
Peguam bela hak asasi manusia Kemboja-Amerika, Theary Seng (kiri) dalam gambar yang diambil pada 14 Januari 2021. - Foto AFP

Biden gesa pembebasan aktivis Kemboja

PHNOM PENH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, semalam menggesa pembebasan seorang aktivis Amerika-Kemboja yang dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun atas tuduhan mengkhianat.

Dalam perbicaraan mahkamah yang diadakan secara besar-besaran, seramai 60 tokoh pembangkang disabitkan bersalah.

Ketika berucap di luar sidang kemuncak blok serantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Phnom Penh, Biden mengangkat kes Theary Seng dalam perbincangan dengan pemerintah Kemboja, Hun Sen.

Rumah Putih dalam kenyataannya selepas rundingan itu berkata, Biden 'menyeru pembebasan aktivis yang ditahan atas tuduhan bermotif politik', termasuk Theary Seng.

Theary yang mempunyai dua kewarganegaraan dan berusia 51 tahun itu memulakan mogok lapar selama seminggu sebagai protes terhadap keadaan di penjara.

Peguam dan ahli kempennya yang juga pengkritik lama Hun Sen, berharap dapat memaksa pihak berkuasa memindahkannya dari sebuah penjara di barat ke Phnom Penh.

Perdana menteri berusia 70 tahun itu adalah pemimpin paling lama berkhidmat di Asia, dengan pengkritik mendakwa beliau membatalkan kebebasan demokrasi, menggunakan mahkamah untuk menyekat pihak lawan dan memenjarakan beberapa aktivis pembangkang serta pembela hak asasi manusia.

Theary Seng adalah yang terperangkap dalam desakan untuk menahan dan menangkap bekas anggota pembangkang yang kini dibubarkan, Parti Penyelamat Nasional Kemboja, pembela hak asasi manusia dan sebarang suara sumbang kepada pentadbiran.

Hun Sen berikrar untuk bertanding semula dalam pemilihan tahun depan dan menyokong anak sulungnya Hun Manet untuk menggantikannya pada masa hadapan. - AFP

Berita Harian X