JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengesyorkan kepada pemimpin ASEAN supaya kerajaan junta tentera Myanmar disekat daripada menyertai sebarang acara negara serantau itu.
Tegas beliau, larangan tidak harus terhad kepada sidang kemuncak dan sidang menteri luar atau acara besar saja, sebaliknya sekatan merangkumi semua kegiatan blok itu di luar program rasmi.
Beliau berkata, ia sebagai tanda kekecewaan beberapa anggota ASEAN berikutan proses yang lambat bagi menamatkan keganasan yang berterusan di Myanmar sejak rampasan kuasa tahun lalu.
"Indonesia mencadangkan penyertaan perwakilan Myanmar pada peringkat bukan politik juga perlu dilarang selepas sidang kemuncak bagi mendorong junta tentera berbicara secara lebih serius mengenai pelan damai.
"Blok itu juga harus membabitkan semua pihak berkepentingan sebagai satu cara untuk mewujudkan dialog termasuk beberapa kumpulan etnik bersenjata, junta dan penyokong pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, yang digulingkan," katanya.
Sebelum ini, ASEAN turut mendapat tekanan untuk meyakinkan junta bagi menamatkan ketidakstabilan politik sejak pemimpin rampasan kuasa, Min Aung Hlaing, menggulingkan kerajaan yang dipilih.
Duta tertingginya sebelum ini berkata, mereka kecewa dengan komitmen pihak berkuasa Myanmar terhadap kegagalan melaksanakan konsensus lima perkara yang dipersetujui antara kedua-dua pihak tahun lalu.
Bulan lalu, junta Myanmar mempertahankan serangan udaranya ke atas konsert anjuran kumpulan etnik minoriti, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang dan disifatkan sebagai kemungkinan jenayah perang.
Jurucakap kerajaan Thailand, Anucha Burapachaisri, berkata Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha, berpandangan peranan ASEAN berhubung Myanmar adalah sangat penting walaupun beliau tidak menawarkan pendirian mengenai bagaimana blok itu harus diteruskan.
"Semua orang mahu melihat keamanan dan kestabilan di Myanmar untuk faedah rakyat Myanmar," katanya. - AGENSI