Sabtu, 12 November 2022 | 8:37pm
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja. - Foto AFP
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja. - Foto AFP

PBB gesa Myanmar kembalikan negara kepada demokrasi

PHNOM PENH: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa junta tentera Myanmar segera mengembalikan negara itu kepada demokrasi, sekali gus menghentikan konflik berdarah.

"Keadaan di Myanmar adalah mimpi ngeri yang tidak berkesudahan bagi rakyat dan ancaman kepada keamanan serta keselamatan di seluruh rantau ini.

"Saya menggesa pihak berkuasa Myanmar untuk mendengar pendapat rakyat mereka, bebaskan tahanan politik dan kembalikan peralihan demokrasi ke landasan segera kerana itulah satu-satunya cara untuk kestabilan dan keamanan," katanya.

Myanmar dirundung konflik berdarah sejak tentera menggulingkan kerajaan awam, Aung San Suu Kyi pada Februari tahun lalu, dengan beribu-ribu terbunuh setakat ini, kebanyakannya orang awam.

Krisis yang semakin memuncak itu mendominasi sidang kemuncak blok serantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), yang mana usaha diplomatik sebelum ini hanya sia-sia bagi menamatkan pertumpahan darah.

Selepas bertemu dengan pemimpin ASEAN, Guterres berkata pelan damai penting untuk dipersetujui dengan junta, namun setakat ini ia masih belum dikuatkuasakan.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, akan mengadakan rundingan dengan pemimpin ASEAN untuk menggesa mereka supaya terus mendesak junta menamatkan keganasan.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, berkata presiden akan 'membincangkan bagaimana untuk menyelaraskan perkara itu dan meningkatkan tekanan ke atas junta'.

Sebelum ini, Jeneral Myanmar berjanji untuk mengadakan pilihan raya baru tahun depan, tetapi AS dan pelapor khas PBB untuk Myanmar berkata tidak ada peluang untuk ia diadakan secara bebas dan adil. - AFP

Berita Harian X