Jumaat, 11 November 2022 | 3:43pm
Persembahan pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja, hari ini. - FOTO EPA
Persembahan pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja, hari ini. - FOTO EPA

ASEAN setuju Timor-Leste jadi negara anggota ke-11

PHNOM PENH: Pemimpin Asia Tenggara mencapai persetujuan, hari ini, untuk membenarkan Timor-Leste menyertai blok ASEAN yang dibarisi 10 negara anggota.

"Kami selaku pemimpin ASEAN, bersetuju secara prinsip untuk memasukkan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11," menurut kenyataan dikeluarkan Kemboja yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN sedang berlangsung di sini.

Timor-Leste adalah negara 'termuda' di Asia Tenggara, dengan memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia pada 2002 selepas pendudukan selama 24 tahun.

Pemimpin rantau ini sekali gus bersetuju memberikan status pemerhati dan hak kepada Timor-Leste untuk menghadiri sesi sidang kemuncak serta mesyuarat ASEAN.

Susulan itu, blok berkenaan akan merangka pelan hala tuju yang menetapkan kriteria perlu dipenuhi Timor-Leste sebelum negara terbabit dianugerahkan status keahlian penuh.

Bekas tanah jajahan Portugis itu merupakan antara negara termiskin di dunia, selain berdepan kemelut ketidaksaksamaan, kekurangan zat makanan dan pengangguran.

Presidennya, Jose Ramos-Horta sudah lama berkempen untuk Timor-Leste menjadi negara anggota ASEAN, dengan permohonan pertama dikemukakan pada 2011.

Ramos-Horta yang juga penerima Hadiah Keamanan Nobel, berjaya memenangi saingan untuk kembali memimpin pentadbiran Timor-Leste pada April lalu selepas menyandang jawatan sama dari 2007 hingga 2012.

Indonesia yang bakal mengambil alih giliran sebagai Pengerusi ASEAN daripada Kemboja pada 2023, berharap Timor-Leste dapat menyertai blok itu secara rasmi, tahun depan.

ASEAN ditubuhkan sebagai blok dibarisi lima negara anggota pada 1967 dan terus berkembang yang menyaksikan Kemboja menjadi ahli terbaru pada 1999. - AFP

Berita Harian X