Jumaat, 11 November 2022 | 1:59pm
Pemimpin negara anggota ASEAN bergambar selepas upacara perasmian Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja. - Foto EPA
Pemimpin negara anggota ASEAN bergambar selepas upacara perasmian Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja. - Foto EPA

Sidang Kemuncak ASEAN bergelut selesaikan krisis di Myanmar

PHNOM PENH: Krisis yang semakin memuncak di Myanmar dijangka mendominasi Sidang Kemuncak ASEAN yang masih bergelut mencari rumusan bagi meredakan pertumpahan darah di negara yang diperintah junta tentera itu.

Pemimpin negara ASEAN akan membincangkan cara melaksanakan pelan damai yang dipersetujui dengan Myanmar pada tahun lalu, tetapi selama ini tidak diendahkan oleh junta tentera.

Terdapat kekecewaan yang semakin meningkat dalam kalangan sembilan negara ASEAN yang lain atas tindakan jeneral di Myanmar yang terus mengabaikan 'konsensus lima mata', tanpa rancangan untuk menguatkuasakannya.

ASEAN sebelum ini menghalang ketua junta, Min Aung Hlaing, daripada menghadiri sidang kemuncak yang akan disertai oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Biden akan mengadakan pertemuan penting dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, di luar sidang kemuncak G20 di Indonesia pada Isnin ini.

Pada masa yang sama, China, rakan dagang terbesar ASEAN, dari segi sejarah mempunyai hubungan baik dengan junta Myanmar, turut menyuarakan rasa kurang senang terhadap kekacauan yang berlaku di negara itu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja. - Foto REUTERS
Presiden Indonesia, Joko Widodo, ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja. - Foto REUTERS

Perdana Menteri China, Li Keqiang, juga akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN sebelum menyertai Biden dan pemimpin serantau lain.

Sementara itu, Indonesia, Malaysia dan Singapura juga mengetuai desakan untuk tindakan yang lebih keras terhadap junta tentera Myanmar.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang menemui Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, lewat semalam sebelum bermulanya Sidang Kemuncak ASEAN, turut membangkitkan kebimbangan mengenai Myanmar.

"Kedua-dua pemimpin melahirkan rasa kecewa dengan ketiadaan komitmen junta tentera Myanmar dalam melaksanakan konsensus lima perkara," kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, memberi amaran bahawa krisis itu boleh mengambil masa beberapa dekad untuk diselesaikan.

bagaimanapun, menjelang pertemuan itu, seorang diplomat kanan ASEAN menegaskan usul untuk mengusir Myanmar daripada blok itu tidak sama sekali ada dalam pertimbangan. - AFP

Berita Harian X