Sabtu, 5 November 2022 | 1:16pm
Bangkai lembu kelihatan selepas banjir surut di perkampungan Krajan di Banyuwangi, Indonesia. - Foto AFP
Bangkai lembu kelihatan selepas banjir surut di perkampungan Krajan di Banyuwangi, Indonesia. - Foto AFP

Ribuan rumah dinaiki air selepas hujan lebat di Sumatera Utara

MEDAN: Ribuan penduduk terpaksa berlindung daripada banjir di Labuhan Batu Utara dan Langkat Sumatera Utara susulan hujan lebat sejak pada Rabu lalu yang turut mengakibatkan ladang dan kemudahan awam ditenggelami air.

Ketua Mitigasi Bencana bagi pentadbiran Labuhan Batu Utara, Rusdi Efendi, berkata ribuan tempat tinggal juga ditenggelami banjir dengan kedalaman satu meter.

"Banjir ini adalah yang terburuk tahun ini. Beberapa kawasan dataran tinggi turut dinaiki air," katanya kepada The Jakarta Post, semalam.

Tambah beliau, jika hujan lebat berterusan, keadaan mungkin bertambah buruk.

"Misalnya di Langkat, sekurang-kurangnya 11 kampung di daerah Besitang dan Tanjung Pura dinaiki air sedalam 1.5 meter sejak Khamis," katanya.

Sebanyak 2,491 keluarga terjejas dengan 136 daripada mereka terpaksa dipindahkan dari rumah mereka.

Jurucakap pentadbiran daerah, Syahmada berkata pihaknya sudah menubuhkan pos mitigasi bencana.

Antara tempat yang terjejas adalah dua sekolah rendah, dua masjid dan empat gereja.

Sekurang-kurangnya 62 hektar tanah ladang turut ditenggelami air.

Wilayah Aceh Tamiang di Aceh yang bersempadan dengan Langkat, turut dilanda banjir.

Ribuan kenderaan terperangkap dalam banjir di lebuh raya trans-Sumatra di Gampong Kebun Tengah dan Sungai Liput.

Sehingga semalam, trafik dari Medan ke Acheh terputus hubungan. - AGENSI

Berita Harian X