MANILA: Jumlah kematian akibat taufan kuat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di seluruh Filipina mencecah 150 orang, kata pegawai bencana hari ini, ketika hujan diramal akan melanda kawasan yang paling teruk terjejas.
Lebih 355,400 penduduk meninggalkan rumah mereka, ketika ribut tropika Nalgae yang buruk melanda kawasan negara kepulauan itu pada lewat dan hujung minggu.
Daripada 150 kematian yang direkodkan agensi bencana kebangsaan, 63 kematian adalah di wilayah Bangsamoro di kepulauan selatan Mindanao, di mana banjir kilat dan tanah runtuh memusnahkan kampung.
Agensi itu berkata, sekurang-kurangnya 128 cedera dan 36 masih hilang di seluruh negara.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa tiada harapan untuk menemukan lebih ramai yang terselamat.
Mindanao jarang ditimpa lebih 20 taufan yang melanda Filipina setiap tahun, namun ribut yang sampai ke rantau itu cenderung lebih membawa maut berbanding di Luzon dan bahagian tengah negara berkenaan.
Dengan lebih banyak hujan diramal hari ini, agensi bencana di Bangsamoro sedang bersiap sedia terhadap kemungkinan lebih banyak kemusnahan di wilayah miskin dan berbukit itu.
"Tanah masih lagi basah di kawasan di mana banjir kilat dan tanah runtuh berlaku, justeru lebih banyak hakisan boleh terjadi dengan cepat.
"Laluan air dan sungai yang berada di laluan banjir kilat disekat oleh serpihan serta batu, jadi ia mudah melimpah," kata ketua pertahanan sivil wilayah, Naguib Sinarimbo.
Presiden Ferdinand Marcos Jr menyalahkan penebangan hutan dan perubahan iklim, yang membawa insiden tanah runtuh yang buruk di Bangsamoro.
Beliau menggesa pihak berkuasa menanam pokok di kawasan pergunungan yang gondol.
"Ia adalah satu perkara yang perlu kita lakukan. Kita mendengar mengenai masalah ini berkali-kali, namun kita masih terus menebang pokok.
"Itulah yang berlaku, tanah runtuh seumpama itu berlaku," katanya dalam taklimat minggu ini.
Marcos Jr mengisytiharkan situasi bencana untuk tempoh enam bulan di wilayah yang paling teruk terkesan dan mengeluarkan dana bagi usaha pemulihan.
Saintis memberi amaran, ribut yang membawa maut dan memusnahkan akan menjadi lebih kuat, ketika dunia menjadi lebih panas disebabkan perubahan iklim. - AFP