Isnin, 31 Oktober 2022 | 2:46pm
Orang awam menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) di Beijing, China, yang menjangkakan kes COVID-19 akan meningkat menjelang musim sejuk tidak lama lagi terutama varian baharu XBB. - Foto EPA
Orang awam menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) di Beijing, China, yang menjangkakan kes COVID-19 akan meningkat menjelang musim sejuk tidak lama lagi terutama varian baharu XBB. - Foto EPA

WHO dapati risiko jangkitan semula varian BQ.1 lebih tinggi

SINGAPURA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan, data yang ada kini tidak memberi gambaran terdapat perbezaan yang secukupnya dalam kadar keterukan jangkitan COVID-19 varian XBB.

Katanya, kajian lanjutan diperlukan mengenai strain XBB iaitu satu lagi subvarian Omicron.

"Bagaimanapun, bukti awal menunjukkan terdapat risiko jangkitan semula lebih tinggi, berbanding subketurunan Omicron yang tersebar," katanya.

Sementara itu di Singapura, Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkata angka kes COVID-19 kian berkurangan dengan purata pergerakan kes tujuh hari berada di kemuncak pada 18 Oktober dengan 8,243 kes.

Namun, sehingga 28 Oktober, bilangannya sudah menurun secara ketara kepada 5,193 kes.

Nisbah jangkitan dari minggu ke minggu, merujuk pada nisbah kes masyarakat bagi minggu yang sudah berbanding minggu sebelumnya, mencecah kadar tinggi 1.74 pada 8 Oktober dan sejak itu juga sudah turun.

Ia dilaporkan seminggu selepas Ye Kung menyatakan gelombang jangkitan COVID-19 yang berlarutan dan dipacu subvarian XBB itu mungkin datang lebih awal daripada pertengahan November.

Konsultan kanan di Divisyen Penyakit Berjangkit, Hospital Universiti Nasional (NUH), Prof Dale Fisher, berkata semalam Ahad terdapat tanda-tanda kenaikan kes itu sudah memuncak.

"Apa yang kita lihat paling penting ialah kemasukan hospital kita, mereka yang memerlukan oksigen dan mereka di dalam unit jagaan rapi... dengan angka ini semua menurun, nampaknya kita boleh menghela nafas lega," tambahnya.

Terdapat 463 pesakit di hospital (wad umum) sehingga 29 Oktober, turun daripada hampir 600 pesakit sekitar 10 hari lalu.

Dengan varian baru ini masih muncul serata dunia, angkanya juga akan terus turun naik, kata Prof Fisher.

"Mudah-mudahan kita akan lihat kurangnya tahap memuncak tinggi ini, yang berpotensi membawa kesan terhadap operasi hospital," katanya. - AGENSI

Berita Harian X