Jumaat, 28 Oktober 2022 | 11:35am
Mesyuarat menteri luar ASEAN di Jakarta. - Foto AFP
Mesyuarat menteri luar ASEAN di Jakarta. - Foto AFP

Myanmar beri amaran tekanan ASEAN wujudkan implikasi negatif

JAKARTA: Kerajaan tentera Myanmar semalam memberi amaran sebarang tekanan daripada jiran Asia Tenggara untuk meletakkan tempoh masa terhadap pelan damai akan mewujudkan implikasi negatif.

Junta pemerintah yang merampas kuasa daripada kerajaan pilihan tahun lalu, berkata demikian dalam mesyuarat menteri luar ASEAN di Jakarta bagi negara anggota berbincang mengurangkan krisis yang semakin meruncing.

ASEAN kekal komited terhadap pelan damai yang dipersetujui dengan pemerintah tentera Myanmar.

Menurut pengerusinya dari Kemboja, ASEAN kekal komited terhadap pelan damai yang dipersetujui dengan pemerintah tentera Myanmar.

Bagaimanapun beberapa negara membangkitkan kebimbangan mengenai kegagalan melaksanakan pelan yang dipersetujui dengan junta kira-kira 18 bulan lalu.

Tiada wakil Myanmar hadir pada mesyuarat khas menteri luar kumpulan itu untuk membincangkan pelan damai yang terbantut.

Jeneral Myanmar dihalang daripada menghadiri mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN sejak tahun lalu, selepas tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih, Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa Februari 2021 dan menahannya serta ribuan aktivis.

Junta tidak menghormati komitmennya terhadap "konsensus" keamanan lima perkara termasuk menghentikan keganasan serta-merta, memulakan dialog, membenarkan utusan pengerusi ASEAN untuk memudahkan pengantaraan dan membenarkan ASEAN memberikan bantuan kemanusiaan.

Namun, ketua junta menyalahkan perkara itu kepada ketidakstabilan dalam negara dan pandemik COVID-19.

Semalam, kementerian luar Myanmar yang dilantik oleh tentera mengeluarkan kenyataan menyalahkan gerakan penentangan bersenjata atas keganasan dan mengatakan tekanan untuk menetapkan tempoh masa akan mewujudkan lebih banyak implikasi negatif daripada yang positif.

Penganalisis politik berkata mesyuarat ASEAN, menjelang sidang kemuncak pemimpin blok itu bulan depan adalah mengecewakan dan tidak banyak membantu untuk mendapatkan jeneral Myanmar bagi bekerjasama.

Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Jakarta, Lina Alexandra, berkata mesyuarat itu memberi gambaran bahawa tidak ada pendirian yang sama dalam kalangan negara-negara ASEAN dan berpecah-belah dalam menangani isu Myanmar.

Menteri luar dan wakil ASEAN dalam kenyataannya, bersetuju bahawa blok itu harus lebih bertekad untuk penyelesaian damai di Myanmar secepat mungkin.

Tambahnya keadaan di Myanmar kekal kritikal dan rapuh.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata menteri-menteri luar menyuarakan kebimbangan dan kekecewaan kerana tiada kemajuan ketara dalam pelaksanaan konsensus lima perkara.

Kebelakangan ini, beberapa insiden paling berdarah tercetus di Myanmar, termasuk pengeboman di penjara terbesar Myanmar dan serangan udara di wilayah Kachin, Ahad lalu yang melaporkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh.

"Keganasan itu perlu dihentikan segera dan Indonesia menyebut bahawa permintaan ini perlu dihantar kepada Tatmadaw (tentera Myanmar) dengan segera," katanya. - REUTERS

Berita Harian X