Rabu, 26 Oktober 2022 | 8:25pm
 Foto dirakamkan pada 6 April 2017 menunjukkan sebuah kapal nelayan China berlabuh di sebelah bot nelayan Filipina di Scarborough Shoal yang dipertikaikan. - Foto fail REUTERS
Foto dirakamkan pada 6 April 2017 menunjukkan sebuah kapal nelayan China berlabuh di sebelah bot nelayan Filipina di Scarborough Shoal yang dipertikaikan. - Foto fail REUTERS

Filipina usul had pergerakan kapal, pesawat China

MANILA: Seorang penggubal undang-undang Filipina mengusulkan kembali peraturan bagi menghalang pencerobohan maritim dan ruang udara negara itu oleh kapal China.

Ia antara lain mengehadkan pergerakan kapal di laluan air dan udara yang khusus, selain memperuntukkan hukuman penjara terhadap kapten atau pemilik kapal.

Anggota kongres Filipina, Rufus Rodriguez, mengusulkan rang undang-undang (RUU) yang menyediakan laluan khusus di laut dan udara, serta memperuntukkan kapal dan pesawat asing yang melakukan perjalanan secara sah perlu mematuhinya.

"Tiada sebarang kapal China atau mana-mana kapal lain patut dibenarkan di perairan kita tanpa kelulusan kita, kecuali untuk perjalanan yang sah di laluan perpulauan laut yang khusus," katanya hari ini.

RUU itu memperuntukkan perlu melakukan melintasi wilayah Filipina secepat mungkin dan tidak boleh melencong lebih dari 25 batu nautika daripada laluan yang dikhususkan, atau terbabit dalam aktiviti perikanan atau pengambilan sumber sepanjang perjalanan.

RUU itu turut melarang aktiviti penyelidikan di wilayahnya, kecuali mendapat kelulusan kerajaan Filipina.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda lebih AS$1 juta (RM4.7 juta) atau kedua-duanya terhadap kapten, pemilik atau pengendali kapal atau pesawat yang melanggar undang-undang berkenaan.

Filipina berulang kali membangkitkan aktiviti China di zon ekonomi eksklusif (EEZ) yang terletak dalam lingkungan 322 kilometer dari pantai Filipina, termasuk keberadaan ratusan bot nelayan secara tetap, dipercayai membawa militia.

China mendakwa pergerakan semua kapal berkenaan tidak melakukan 'perjalanan yang salah', dan ia dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Filipina sejak sekian lama mendakwa kapal China mengacau dan mengganggu aktiviti perikanan, dalam usaha Beijing memperkukuh tuntutan terhadap kedaulatannya di hampir keseluruhan Laut China Selatan.

Presiden Filipina, Marcos Jr mahu mewujudkan hubungan kukuh dengan China, namun secara jelas berjanji akan mempertahankan kedaulatan wilayah negara itu dan bertegas terhadap sebarang pencerobohan China di Laut China Selatan. - REUTERS

Berita Harian X