Selasa, 25 Oktober 2022 | 3:53pm
(Gambar fail) Jokowi (kiri) bersama Jinping. - ISTANA PRESIDEN INDONESIA/REUTERS
(Gambar fail) Jokowi (kiri) bersama Jinping. - ISTANA PRESIDEN INDONESIA/REUTERS

Jokowi ucap tahniah kepada Jinping

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo yang dikenali sebagai Jokowi, mengucapkan tahniah kepada Presiden China, Xi Jinping atas pelantikan semula beliau sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis China (CPC) untuk penggal ketiga.

"Tahniah kepada Presiden Xi Jinping atas pemilihan semula sebagai Setiausaha Agung CPC.

"Berharap untuk bekerjasama dalam usaha mengukuhkan lagi perkongsian Indonesia-China dan mempromosikan keamanan, kestabilan serta kemakmuran di Indo-Pasifik dan seterusnya," tulis Jokowi dalam Twitter, selain turut memuat naik gambar beliau bersama Jinping.

CPC melantik Jinping, 69, untuk penggal ketiga - tidak pernah berlaku sebelum ini - sebagai pemimpin ekonomi kedua terbesar dunia pada kongres parti, Ahad lalu.

Jokowi serta Jinping dijadualkan menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) pertama Indonesia dan Asia Tenggara, bulan depan, selepas menyertai Sidang Kemuncak G20 pada 15 hingga 16 November di Bali.

Pelaksanaan projek HSR Jakarta-Bandung membabitkan usaha sama antara syarikat konsortium milik Indonesia dengan China, Railway International Co Ltd.

Setakat 13 Oktober lalu, kira-kira 88.8 peratus projek itu telah siap. – BERNAMA

Berita Harian X