Isnin, 12 September 2022 | 5:35pm
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha, yang kini digantung tugas. - REUTERS
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha, yang kini digantung tugas. - REUTERS

Rakyat Thailand mahu kerajaan bubar Parlimen, adakan pilihan raya awal

BANGKOK: Lebih 60 peratus rakyat Thailand mahukan kerajaan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya lebih awal.

Demikian hasil dapatan tinjauan pendapat baru-baru ini, ketika Mahkamah Perlembagaan negara itu mempertimbangkan masa depan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha, yang kini digantung tugas.

Prayuth, 68, digantung tugas oleh mahkamah bulan lalu susulan petisyen difailkan parti pembangkang utama, Pheu Thai, yang berhujah tempoh diambil Prayuth sebagai ketua junta tentera selepas rampasan kuasa pada 2014 harus diambil kira dalam had penggal lapan tahun yang ditetapkan Perlembagaan.

Penggantungan itu menyebabkan Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, memikul tugas sebagai pemangku pemimpin negara, manakala Prayuth kekal dalam Kabinet sebagai menteri pertahanan.

Tinjauan oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (NIDA) terhadap 1,312 orang yang dijalankan antara 5 hingga 7 September mendapati 63.8 peratus responden sangat bersetuju Prawit harus membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya awal, manakala 13.95 peratus sangat tidak bersetuju.

Jurucakap kerajaan tidak memberi maklum balas kepada permintaan Reuters untuk mengulas mengenai penemuan tinjauan yang dikeluarkan semalam itu.

Mengikut perlembagaan, pilihan raya Thailand yang seterusnya dijangka diadakan menjelang Mei 2023, namun ia boleh berlaku lebih awal jika Parlimen dibubarkan.

Prayuth memerintah sebagai ketua junta tentera selepas melakukan rampasan kuasa pada 2014 ketika beliau menjadi ketua tentera.

Beliau menjadi perdana menteri yang dipilih pada 2019 selepas pilihan raya diadakan di bawah Perlembagaan yang digubal tentera pada 2017, yang mana had bagi seorang perdana menteri memerintah ditetapkan selama lapan tahun.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh keputusan akhir, namun sudah meminta Prayuth dan mereka yang terbabit dalam pertikaian itu mengemukakan bukti dalam kes berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X