Khamis, 8 September 2022 | 7:56pm
Prayut Chan-O-Cha.
Prayut Chan-O-Cha.

Mahkamah Thailand minta lebih banyak bukti kes gantung tugas PM

BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand meminta lebih banyak bukti bagi mempertimbangkan sama ada untuk menamatkan penggantungan penggal jawatan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha.

Mahkamah terbabit menggantung jawatan bekas Ketua Tentera yang mengambil alih pentadbiran kerajaan selepas rampasan kuasa pada 2014 daripada jawatannya bulan lalu, susulan kes yang dibawa oleh parti pembangkang dengan alasan Prayut sudah mencapai penghujung had penggal lapan tahun dan mesti meletak jawatan.

Di bawah Perlembagaan Thailand 2017, Perdana Menteri tidak boleh berkhidmat melebihi lapan tahun, tetapi pada penggal pentadbiran yang diterajui Prayut ia menjadi subjek pertikaian.

Mahkamah Perlembagaan hari ini, berkata pihaknya memerlukan lebih banyak maklumat dan laporan daripada kumpulan rasmi yang merangka perlembagaan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan ketika ini mengambil alih jawatan perdana menteri sementara, manakala Prayut dibenarkan terus berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan.

Prayut mengetuai rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan Yingluck Shinawatra yang dipilih secara demokrasi dan kemudian beliau mengetuai kerajaan junta sehingga menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2019.

Penyokong pemimpin berusia 68 tahun it berpendapat tempoh penggalnya bermula apabila Perlembagaan 2017 digubal atau selepas PRU 2019.

Sekiranya mahkamah bersetuju, Prayut secara teknikal boleh terus berkhidmat sehingga 2025 atau 2027 dan jika beliau memenangi PRU yang dijangka diadakan menjelang Mac tahun depan.

Bagaimanapun, Prayut semakin tidak disukai pengundi dan di bawah pentadbiran kerajaan itu mencatatkan prestasi ekonomi terburuk dalam tempoh tiga dekad.

Protes prodemokrasi yang diterajui pelajar di Bangkok pada 2020, menarik puluhan ribu orang pada kemuncaknya dan tuntutan utama gerakan itu ialah mendesak Prayut meletak jawatan.

Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 14 September. - AFP

Berita Harian X