Rabu, 14 September 2022 | 4:15pm
Tempoh jawatan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha, akan ditentukan Mahkamah Perlembagaan hujung bulan ini. - Foto AFP
Tempoh jawatan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha, akan ditentukan Mahkamah Perlembagaan hujung bulan ini. - Foto AFP

Mahkamah putuskan nasib PM Thailand hujung bulan ini

BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini menetapkan tarikh keputusan mengenai tempoh jawatan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha adalah pada 30 September depan.

Keputusan itu bakal menyaksikan sama ada beliau sudah melepasi tempoh had lapan tahun memegang jawatan Perdana Menteri Thailand atau sebaliknya.

Prayut, yang mula berkuasa selepas menggulingkan kerajaan pada 2014 sebelum menjadi Perdana Menteri secara rasmi tidak lama kemudian, digantung tugas sementara mahkamah memutuskan kes difailkan parti pembangkang Pheu Thai.

Parti pembangkang itu mendakwa tempoh Prayut memegang jawatan Perdana Menteri sudah berakhir bulan lalu.

Bagaimanapun, bekas ketua tentera itu masih aktif bagi jawatan Menteri Pertahanan dan boleh kembali sebagai Perdana Menteri jika mahkamah memutuskan beliau belum mencapai had tempoh lapan tahun.

Buat masa ini, jawatan Perdana Menteri Thailand dipangku timbalannya, Prawit Wongsuwan.

Prayut, 68, tidak memberi sebarang ulasan berhubung kes itu dan memaklumkan akan menghormati sebarang keputusan mahkamah.

Mahkamah perlu memutuskan sama ada tempoh lapan tahun itu turut merangkumi tempoh ketika beliau mengetuai pentadbiran tentera yang ditubuhkannya selepas menggulingkan kerajaan Pheu Thai.

Beberapa penyokongnya mendakwa tempoh lapan tahun perlu dikira selepas 2017, iaitu ketika perlembagaan baharu mula berkuat kuasa, atau selepas 2019, apabila pilihan raya dilaksanakan dan Parlimen baharu memilihnya untuk mengetuai kerajaan gabungan.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, menyifatkan keputusan mahkamah sebagai peluang untuk menjelaskan kemelut berkenaan.

"Saya menggesa orang ramai untuk bersabar dan menunggu serta menghormati keputusan mahkamah," katanya.

Isu itu adalah antara beberapa perkara dibangkitkan pembangkang dalam usaha menyingkirkan Prayut daripada jawatannya.

Empat usul undi tidak percaya turut difailkan di Parlimen iaitu kes konflik kepentingan berhubung penggunaan kediaman tentera dan protes belia selama beberapa bulan yang mencabar kepimpinannya serta monarki.

Kaji selidik antara 2 hingga 4 Ogos lalu membabitkan 1,312 individu oleh Institut Nasional Pentadbiran Pembangunan mendapati dua pertiga rakyat Thailand mahu Prayut berundur, manakala satu pertiga lagi mahu menunggu keputusan mahkamah. - REUTERS

Berita Harian X