Isnin, 29 Ogos 2022 | 11:38am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Filipina syor akta lindungi warga emas daripada penipuan dalam talian

MANILA: Rang Undang-Undang (RUU) bertujuan melindungi warga emas daripada jenayah siber seperti penipuan dalam talian difailkan Senator Jose 'Jinggoy' Estrada.

Dalam satu kenyataan semalam, Estrada berkata beliau memfailkan RUU Senat No 671 atau Akta Pendidikan Penipuan Warga Emas ketika jenayah itu semakin berleluasa dan meningkat pada kemuncak pandemik COVID-19, kebanyakannya menyasarkan warga emas yang bersara.

RUU berkenaan bertujuan mewujudkan perkhidmatan berpusat antara agensi yang akan memberikan warga emas, keluarga dan penjaga mereka maklumat serta kemas kini berterusan bagi menghalang penjenayah daripada menjalankan skim mereka.

"Tiada penipu jika tidak ada lagi orang yang boleh ditipu dan tiada siapa yang akan menjadi mangsa jika mereka tahu mengenai skim penipuan," kata Estrada.

Beliau menegaskan, sektor yang terdedah harus dilindungi daripada penipuan itu kerana kebanyakan pengguna warga emas tidak biasa dengan teknologi hari ini.

Di bawah langkah yang dicadangkan itu, Jabatan Perdagangan dan Perindustrian (DTI) akan menjadi agensi utama dan akan disokong Jabatan Kehakiman, Jabatan Kesihatan dan Perbadanan Pos Filipina.

DTI juga akan bekerjasama dengan Bangko Sentral ng Pilipinas, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa, Suruhanjaya Insurans, Suruhanjaya Telekomunikasi Kebangsaan, Biro Siasatan Kebangsaan dan Polis Negara Filipina dalam menentukan pelbagai jenis penipuan serta jenayah siber.

Sebuah laman sesawang juga diwujudkan bagi membantu orang ramai mengenal pasti penipuan membabitkan perkhidmatan kewangan, produk pinjaman dan pelaburan, barangan insurans, penipuan teks serta tindakan salah lain.

Persatuan Jurubank Filipina (BAP) menganggarkan, lebih satu bilion peso (RM79 juta) wang hasil penat lelah mangsa hilang pada 2021 akibat penipuan, termasuk pengeluaran bank tanpa kebenaran dan pemindahan dana, ketika penjenayah siber lebih agresif dalam ruang digital disebabkan pengguna yang berdepan sekatan pergerakan beralih kepada saluran digital.

Naib pengerusi jawatankuasa keselamatan siber BAP, Ramon Jocson, yang juga Naib Presiden Eksekutif Bank of the Philippine Islands, memetik kajian Kaspersky, yang menganggarkan satu daripada tiga pengguna internet di Filipina ditipu.

Selain itu, kajian berasingan oleh Cisco menganggarkan 57 peratus daripada keseluruhan perusahaan kecil dan sederhana digodam atau ditembusi oleh penjenayah. - AGENSI

#kw Rang Undang-Undang, warga emas, Filipina, jenayah siber

Berita Harian X