Jumaat, 26 Ogos 2022 | 4:52pm
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan, kini memangku jawatan Perdana Menteri. - Foto EPA
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan, kini memangku jawatan Perdana Menteri. - Foto EPA

PM Thailand yang digantung teruskan tugas Menteri Pertahanan

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand yang digantung, Prayuth Chan-o-cha, berkata di media sosial bahawa beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan.

Ia adalah ucapan langsung pertamanya kepada orang ramai sejak mahkamah menggantung tugasnya sebagai Perdana Menteri, sementara mahkamah menyemak had penggalnya.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, kini memangku jawatan Perdana Menteri Thailand, negara yang mempunyai ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara.

"Saya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Pertahanan untuk rakyat dan Thailand setiap hari," kata Prayuth di akaun Twitter rasminya lewat semalam.

Rabu lalu, Mahkamah Perlembagaan memutuskan untuk mendengar petisyen dibawa parti pembangkang utama yang berhujah, bahawa jawatan Prayuth sebagai ketua junta tentera selepas mengambil alih menerusi rampasan kuasa pada 2014, harus dikira dalam tempoh keseluruhannya memegang jawatan.

Perlembagaan menetapkan had penggal lapan tahun untuk perdana menteri. Masih tidak jelas bila mahkamah akan menyampaikan keputusan mengenai semakan kehakiman itu.

Kontroversi mengenai had penggal Prayuth adalah kemelut terbaru dalam hampir dua dekad pergolakan politik, termasuk dua rampasan kuasa dan protes ganas, berpunca daripada penentangan terhadap pembabitan tentera dalam politik dan tuntutan untuk perwakilan yang lebih besar apabila kesedaran politik berkembang.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, hari ini berkata Kabinet akan terus berfungsi seperti biasa. - REUTERS

Berita Harian X