Selasa, 23 Ogos 2022 | 1:15pm
Prayuth Chan-ocha. - Foto AGENSI
Prayuth Chan-ocha. - Foto AGENSI

Mahkamah Thailand digesa buat keputusan jawatan Prayuth

BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam menerima petisyen daripada penggubal undang-undang pembangkang untuk memohon keputusan sama ada Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha sudah mencapai had tempoh memegang jawatan mengikut perundangan negara.

Petisyen yang ditandatangani oleh 171 ahli Dewan Rakyat meminta mahkamah sembilan anggota membuat keputusan mengenai undang-undang dalam Perlembagaan yang mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada lapan tahun.

Esok, mahkamah dijangka mengumumkan sama ada akan memutuskan petisyen itu. Jika mahkamah menerima keputusan itu, tidak diketahui sama ada akan menggantung sementara Prayuth daripada tugasnya, sehinggalah keputusan itu dikeluarkan.

Namun, perkara yang menjadi isu adalah tarikh yang sebenar dalam menentukan berapa lama beliau memegang jawatan.

Prayuth, sebelum komander tentera merampas kuasa pada Mei 2014 selepas menggulingkan kerajaan yang dipilih dalam rampasan kuasa tentera dan beliau mengetuai junta seterusnya dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Ogos 2014, di bawah perlembagaan sewaktu pasca rampasan kuasa.

Pengkritiknya dan beberapa pakar undang-undang berpendapat, Prayuth akan genap lapan tahun memegang jawatan hari ini.

Penyokongnya bagaimanapun berkata, berkuat kuasa pada 6 April 2017, Perlembagaan semasa negara mengandungi peruntukan mengehadkan Perdana Menteri kepada lapan tahun dan ia harus digunakan sebagai tarikh permulaan.

Tafsiran yang lebih baik ialah pengiraan detik bermula pada 9 Jun 2019 apabila Prayuth memegang jawatan di bawah Perlembagaan baharu, selepas pilihan raya umum 2019.

Tindakan menggulingkan Prayuth akan menimbulkan ketegangan politik dan tinjauan menunjukkan populariti perdana menteri berada pada tahap rendah dan pengkritiknya berusaha untuk mengeluarkannya selama lebih daripada dua tahun dan mendakwa beliau berkuasa secara tidak sah.

Malah, beliau juga dituduh mengendalikan ekonomi dan mengganggu tindak balas Thailand terhadap pandemik COVID-19.

Prayuth dan kerajaan gabungannya bagaimanapun terselamat daripada empat undi tidak percaya sejak pilihan raya 2019 dan yang terbaru bulan lalu.

Sejak beberapa hari lalu, beberapa protes jalanan mendesak mahkamah membuat keputusan dan beberapa pengkritik juga mencadangkan beliau mengambil inisiatif untuk berundur.

Jika beliau tidak keluar daripada jawatan, Prayuth harus mengadakan pilihan raya baharu menjelang Mac tahun depan, walaupun beliau mempunyai pilihan untuk mengadakan sebelum tarikh itu.

Had lapan tahun itu bertujuan untuk menyasarkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, yang digulingkan oleh rampasan kuasa tentera 2006 tetapi jentera politiknya kekal berkuasa.

Tentera pada 2014 juga menggulingkan kerajaan adik Thaksin, Yingluck Shinawatra, yang dipaksa turun daripada jawatan sejurus sebelum pengambilalihan oleh keputusan mahkamah yang kontroversi.

Kelas pemerintah konservatif tradisional Thailand, termasuk tentera merasakan populariti Thaksin menimbulkan ancaman kepada monarki negara serta pengaruh mereka sendiri. Mahkamah bagaimanapun tetap menjadi pembela yang teguh terhadap perintah yang ditetapkan dan memutuskan secara konsisten terhadap Thaksin dan pencabar lain. - AP

Berita Harian X