Khamis, 18 Ogos 2022 | 11:34am
Seorang penunjuk perasaan mengibarkan bendera Myanmar di hadapan bangunan PBB di Bangkok. - Foto REUTERS
Seorang penunjuk perasaan mengibarkan bendera Myanmar di hadapan bangunan PBB di Bangkok. - Foto REUTERS

Junta Myanmar minta PBB guna 'pendekatan baharu' selesai krisis

NAYPYIDAW: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa mencari dan 'mengkaji semula pendekatannya' untuk menyelesaikan krisis berdarah di Myanmar selepas rampasan kuasa, kata Menteri Luar Junta kepada Utusan Khas PBB ke negara itu ketika lawatan pertamanya ke negara itu semalam.

Myanmar dilanda kegawatan sejak tentera merampas kuasa pada Februari tahun lalu, menyebabkan penentangan dan keganasan sengit di seluruh pelosok negara.

Usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis yang diketuai oleh PBB dan blok serantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah mencapai sedikit kemajuan, apabila Jeneral enggan terbabit dengan pihak lawan.

"Dalam pertemuannya dengan utusan PBB, Noeleen Heyzer semalam, Menteri Hal Ehwal Luar junta menyeru badan dunia itu untuk 'secara konstruktif dan pragmatik mengkaji semula pendekatannya dalam kerjasama dengan Myanmar', kata kementerian itu.

Dalam satu kenyataan, Heyzer memaklumkan beliau juga bertemu dengan Ketua Junta, Min Aung Hlaing dan menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta dan pembebasan semua tahanan politik.

Beliau juga membangkitkan permintaan untuk bertemu dengan pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, yang ditahan sejak rampasan kuasa tentera dan Isnin lalu dijatuhkan lagi satu hukuman penjara di mahkamah rahsia junta.

Menurut kumpulan hak asasi tempatan, lebih 2,200 orang terbunuh dan lebih 15,000 ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap kumpulan yang berbeza perbezaan pendapat sejak Februari lalu.

Suu Kyi berdepan penjara 10 tahun jika disabitkan dengan tuduhan di mahkamah junta.

Junta itu yang dikenakan sekatan barat dan terpencil di pentas dunia, sebelum ini menuduh PBB campur tangan dalam hal ehwal dalamannya.

Bulan lalu, junta mencetuskan kecaman antarabangsa yang diperbaharui apabila ia melaksanakan hukuman mati ke atas bekas ahli Parlimen dari parti Liga Demokrasi Kebangsaan yang sama dengan Suu Kyi, Phyo Zeya Thaw, atas kesalahan mengikut undang-undang antikeganasan.

Pejabat Heyzer berkata, pemimpin itu 'secara langsung menggesa' ketua junta, Min Aung Hlaing 'untuk mengenakan moratorium ke atas semua hukuman mati pada masa hadapan'.

Beliau turut menyampaikan permintaan daripada kerajaan Australia agar junta membebaskan ahli ekonomi Australia yang ditahan, Sean Turnell, yang sedang dibicarakan kerana dituduh melanggar akta rahsia rasmi negara itu.

Heyzer, ahli sosiologi Singapura dilantik oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres tahun lalu, menggantikan diplomat Switzerland, Christine Schraner Burgener.

Schraner Burgener sebelum ini menggesa PBB mengambil 'langkah yang sangat kuat'" terhadap tentera dan beliau menjadi sasaran media yang disokong kerajaan Myanmar.

Pemimpin tentera menghalangnya daripada melawat negara itu, yang mana beliau berharap untuk bertemu dengan Suu Kyi.

Disember lalu, media kerajaan melaporkan junta menutup pejabat PBB di Myanmar, mengatakan kerjanya di Myanmar telah 'selesai'.

Tidak ada laporan dalam media kerajaan mengenai sama ada Heyzer akan dibenarkan membuka pejabat di negara itu.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, mereka mempunyai sedikit keyakinan bahawa lawatannya akan memujuk tentera menamatkan tindakan keras berdarah dan terbabit dalam dialog dengan penentang rampasan kuasanya.

"Utusan PBB melawat apabila tentera membenarkan mereka berbuat demikian, menginap di tempat yang ditetapkan tentera, berjumpa dengan siapa yang diatur oleh tentera dan meninggalkan negara itu apabila tentera mengarahkan mereka," menurut hantaran Pengarah Kempen Burma UK, Mark Farmaner dalam Twitternya yang mana kumpulan hak asasi itu berpangkalan di London. - AFP

Berita Harian X