Selasa, 9 Ogos 2022 | 7:25pm
Prayuth Chan-ocha. - Foto fail REUTERS
Prayuth Chan-ocha. - Foto fail REUTERS

Prayuth kekal PM Thailand dua tahun lagi, kata timbalannya

BANGKOK: Prayuth Chan-ocha kekal Perdana Menteri Thailand bagi tempoh dua tahun lagi, kata timbalannya, Prawit Wongsuwan ketika pembangkang terus mendapatkan perintah mahkamah bagi menyingkirkan pemimpin nombor satu berkenaan.

Bekas ketua tentera berusia 76 tahun itu berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bersedia menggantikan Prayuth sekiranya mahkamah menetapkan Perdana Menteri itu sudah terlalu lama memegang kuasa.

"Bagaimana saya boleh bersedia? Saya tidak pernah memikirkannya.

"Perdana Menteri akan terus kekal untuk tempoh dua tahun lagi," katanya kepada pemberita menjelang mesyuarat Kabinet.

Prawit yang terkenal sebagai pempengaruh kuasa di belakang tabir bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada tempoh dua tahun itu termasuk pilihan raya yang mana Prayuth perlu mengadakannya dalam tempoh 10 bulan akan datang.

Parti pembangkang, Pheu Thai sebelum ini meminta mahkamah membuat ketetapan yang jelas berhubung tempoh had jawatan Prayuth selama lapan tahun, sama ada ia termasuk ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada era pentadbiran junta.

Pheu Thai, parti pemerintah yang ditumbangkan Prayuth sebelum ini berkata, had tempoh jawatan Prayuth berakhir 23 Ogos ini, lapan tahun selepas beliau dinamakan junta sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, penyokong Prayuth percaya tempoh lapan tahun itu terpakai selepas pengisytiharan Perlembagaan baharu pada 2017.

Prayuth pula dilaporkan berkata, terpulang kepada mahkamah untuk menentukan tempoh had jawatan itu.

Pembangkang sebelum ini berulang kali cuba menyingkirkan Prayuth menerusi undang-undang dan cara legislatif namun bekas jeneral itu terselamat dalam protes antikerajaan besar-besaran beberapa tahun lalu. - REUTERS

Berita Harian X