Khamis, 28 Julai 2022 | 2:51pm
LFL yang mengambil bahagian dalam tindakan mahkamah terakhir terhadap dua pengedar dadah untuk menghentikan hukuman mati diarah membayar SGD$1,000 (RM3,221) oleh mahkamah Singapura sebagai kos guaman. - Foto AGENSI
LFL yang mengambil bahagian dalam tindakan mahkamah terakhir terhadap dua pengedar dadah untuk menghentikan hukuman mati diarah membayar SGD$1,000 (RM3,221) oleh mahkamah Singapura sebagai kos guaman. - Foto AGENSI

LFL Malaysia diarah bayar SGD$1,000 oleh mahkamah Singapura

SINGAPURA: Pertubuhan bukan kerajaan Malaysia, Lawyers for Liberty (LFL) yang mengambil bahagian dalam tindakan mahkamah terakhir terhadap dua pengedar dadah untuk menghentikan hukuman mati diarah membayar SGD$1,000 (RM3,221) sebagai kos guaman.

Peguam Charles Yeo, yang mewakili rakyat Singapura, Roslan Bakar dan warga Malaysia, Pausi Jefridin turut diperintahkan membayar kos SGD$4,000 (RM12,887) kepada Peguam Negara.

Menurut portal berita Straits Times, Mahkamah Rayuan berkata, LFL menyalahgunakan proses mahkamah dengan menyertai pasangan itu dalam memfailkan usul jenayah yang meminta mahkamah menyemak keputusan awalnya yang mengekalkan hukuman mati mereka.

Kata mahkamah, prosedur itu 'tiada untuk digunakan oleh organisasi swasta bagi tujuan mereka sendiri'.

Merujuk kepada kempen pertubuhan itu menentang hukuman mati, mahkamah berkata, tujuan LFL menjadi pemohon 'mestilah untuk melanjutkan atau mendapatkan publisiti untuk matlamat pemansuhannya'.

Mahkamah berkata, Yeo bertindak tidak wajar dalam memfailkan dan membentangkan usul jenayah serta rayuan sivil yang berasingan apabila beliau tidak mempunyai asas untuk mewajarkan kedua-dua tindakan undang-undang berkenaan.

Jelas mahkamah lagi, ia menyebabkan Peguam Negara menanggung kos yang tidak perlu dalam kedua-dua prosiding, terutama kerana kerja itu perlu dilakukan secara segera.

Roslan, 51, dan Pausi, 37, dijatuhi hukuman mati pada 2010 dan tidak berjaya mencabar hukuman mereka selama ini.

Mereka dijadualkan dihukum gantung pada 16 Februari tahun ini.

Pada 14 Februari, Yeo memfailkan usul jenayah meminta mahkamah tertinggi menyemak keputusannya pada 2018.

LFL dinamakan sebagai pihak dalam permohonan itu, yang kemudian ditolak pada 15 Februari.

Yeo selepas itu memfailkan permohonan sivil untuk memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mengisytiharkan bahawa hukuman mati itu tidak mengikut perlembagaan. Ia ditolak pada 16 Februari.

Hukuman mati pasangan itu kemudiannya ditangguhkan untuk tempoh yang tidak dinyatakan oleh Presiden Halimah Yacob.

Peguam Negara meminta kos SGD$2,000 (RM6,443) terhadap LFL dan kos berjumlah SGD$25,000 (RM80,548) terhadap Yeo.

Permohonan kos didengar pada 27 Jun lalu dengan Yeo mewakili dirinya dan peguam Malaysia, N Surendran, K Nagarajan hadir melalui pautan video untuk LFL.

Mahkamah menolak hujah Surendran bahawa peruntukan yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk membuat perintah kos berkenaan dengan prosiding jenayah adalah tidak berperlembagaan kerana ia menghalang akses kepada keadilan.

Tambah mahkamah lagi, akses kepada keadilan seseorang tertuduh tidak terhad setakat seseorang itu boleh mengeluarkan permohonan yang remeh, menyusahkan atau sebaliknya penyalahgunaan proses untuk melambatkan pelaksanaan hukuman.

Mahkamah berkata, Roslan dan Pausi sudah diberi setiap peluang untuk mempertahankan diri mereka dan mencabar sabitan serta hukuman mereka. - AGENSI

Berita Harian X