Selasa, 26 Julai 2022 | 9:38pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Singapura sediakan vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak 6 bulan - 4 tahun

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang membuat persiapan untuk memperkenalkan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga empat tahun, pada suku keempat tahun ini.

MOH juga akan berusaha untuk menyediakan lebih banyak data dan maklumat supaya masyarakat dapat lebih memahami kesan jangkitan itu terhadap kanak-kanak.

Kenyataan media itu dikeluarkan berikutan peningkatan keprihatinan dalam kalangan segelintir ibu bapa menyusuli kematian dua kanak-kanak kecil ekoran jangkitan coronavirus baru-baru ini.

"MOH kini sedang melakukan persiapan yang perlu untuk memperkenalkan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak kecil berusia antara enam bulan hingga empat tahun.

"Kami menyasarkan untuk menyiapkannya pada suku keempat tahun ini," kata kementerian itu.

Sehingga 23 Julai lalu, dua kematian kanak-kanak dari sifar hingga 4 tahun akibat COVID-19, dilaporkan.

MOH berkata, ia bermakna terdapat tiga kematian bagi setiap 100,000 kes dalam kumpulan usia yang sama, berbanding 99 kematian dalam setiap 100,00 kes bagi golongan yang berumur 40 tahun ke atas, pada tahun ini.

"Ini tidak unik kepada COVID-19 kerana kami melihat trend sama dalam penyakit berjangkit lain, yang mana kanak-kanak di antara 0 tahun dan 4 tahun adalah lebih berdaya tahan berbanding pesakit lebih berusia.

"Bagaimanapun, mereka lebih lemah daripada anak-anak lebih berumur dan remaja," kata kementerian itu.

Menurut MOH, kanak-kanak dalam golongan usia berkenaan juga terkorban akibat penyakit lain seperti radang paru-paru dan demam selesema.

Sebelum COVID-19, pada 2018 dan 2019, MOH mencatatkan 3.1 kematian bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 4 tahun bagi setiap 100,000 orang kerana radang paru-paru dan demam selesema.

"Kami menggunakan 2018 dan 2019 sebagai perbandingan kerana langkah kesihatan awam diperkenalkan semasa pandemik COVID-19 sudah berkurangan dengan ketara bagi penyakit radang paru-paru dan selesema," katanya.

Daripada 1.7 juta kes COVID-19 dilaporkan sejak pandemik, sekitar 64,000 atau 3.9 peratus adalah kanak-kanak di bawah usia lima tahun, menurut MOH.

Sebahagian besar daripada 64,000 kanak-kanak itu pulih dengan lancar di rumah, dengan 0.022 peratus memerlukan bantuan oksigen atau dimasukkan ke hospital di unit jagaan rapi (ICU), berbanding 0.17 peratus pesakit berusia 40 tahun ke atas memerlukan jagaan ICU.

Tambah MOH, ia akan terus melakukan yang terbaik untuk melindungi dan menjaga semua pesakit, khususnya golongan warga emas dan kanak-kanak sangat kecil, yang agak lemah berbanding dengan kanak-kanak lebih tua dan dewasa.

"Kami juga mahu menyediakan lebih banyak data dan maklumat, supaya kita semua dapat memahami lebih baik kesihatan berkaitan dengan kanak-kanak dan jangkitan COVID-19," katanya.

Minggu lalu, Berita Harian Singapura melaporkan bahawa Raisya Ufairah Mohammed Ashraff, 4, meninggal dunia pada hari yang sama dia disahkan menghidap COVID-19 17 Julai lalu.

Pada 27 Jun lalu, seorang budak lelaki berusia 18 bulan meninggal dunia selepas dijangkiti COVID-19. Allahyarham Zaheer Raees Ali Basharath Ali, meninggal dunia selepas mengalami komplikasi akibat coronavirus. - AGENSI

Berita Harian X