Khamis, 21 Julai 2022 | 4:39pm
Agensi mencari dan menyelamat Ternate menemui empat mayat petang semalam dan lima mayat pada hari keempat pencarian. - Foto REUTERS
Agensi mencari dan menyelamat Ternate menemui empat mayat petang semalam dan lima mayat pada hari keempat pencarian. - Foto REUTERS

9 maut, feri karam di Indonesia

JAKARTA: Sekurang-kurangnya sembilan mayat ditemui selepas sebuah feri karam di luar pesisir sebuah kepulauan di Indonesia akibat cuaca buruk, menurut seorang pegawai pasukan penyelamat hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat penumpang feri KM Cahaya Arafah yang terbalik di perairan dekat kepulauan Ternate petang Isnin lalu diteruskan susulan 13 lagi mangsa masih hilang.

Pasukan penyelamat menemui empat mayat petang semalam dan lima mayat pada hari keempat pencarian, kata agensi mencari dan menyelamat, Ternate dalam satu kenyataan.

Sementara itu, empat lagi mangsa dilaporkan masih belum ditemui.

Feri yang membawa 77 orang penumpang dan anak kapal itu dalam perjalanan ke pulau Halmahera yang berdekatan.

Seramai 64 orang mangsa yang terselamat telah dipindahkan ke kampung berhampiran selepas feri berkenaan karam.

Penduduk kampung berdekatan berlayar menggunakan bot panjang milik mereka untuk membantu pihak berkuasa bagi operasi mencari dan menyelamat.

Kemalangan marin adalah perkara biasa di Indonesia, nusantara Asia Tenggara yang merangkumi sekitar 17,000 pulau, di mana penduduknya bergantung kepada feri dan bot untuk bergerak, meskipun menghadapi risiko besar kerana kelemahan aspek keselamatan.

Mei lalu, sebuah feri membawa lebih 800 penumpang terkandas di beting pasir di perairan cetek di luas pesisir pantai Nusa Tenggara Timur selama dua hari sebelum berjaya di bawa keluar.

Kesemua penumpang dilaporkan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaaan dalam tragedi itu. Pada 2018, lebih 150 orang mati l selepas sebuah feri tenggelam di salah sebuah tasik paling dalam di dunia di kepulauan Sumatera. - AFP

Berita Harian X