Selasa, 19 Julai 2022 | 7:25pm
Gambar fail Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, ketika berbahas di Parlimen. - Foto EPA
Gambar fail Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, ketika berbahas di Parlimen. - Foto EPA

Pembangkang terus 'serang' PM Thailand di Parlimen

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha menangkis tuduhan rasuah dan salah urus ekonomi dalam sidang Parlimen yang disiarkan di televisyen.

Serangan bertubi-tubi itu dilihat sebagai usaha untuk menjejaskan kredibilitinya menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan dalam tempoh 11 bulan.

Prayuth, 68, seorang pesara ketua tentera yang mula berkuasa selepas rampasan kuasa lapan tahun lalu, menang dalam tiga usul undi tidak percaya sejak pilihan raya 2019, sekali gus kekal sebagai perdana menteri menerajui gabungan 17 parti.

Penganalisis berkata, penguasaan majoriti 253 kerusi Parlimen berbanding 208 kerusi dikuasai pembangkang perlu kekal untuk beliau terus berkuasa walaupun tinjauan menunjukkan penurunan populariti.

Terdahulu, Prayuth turut menghadapi cabaran daripada 16 penggubal undang-undang yang membelot selepas dipecat daripada Parti Palang Pracharat dan berikrar untuk mengundi menyokong pembangkang.

Ketua blok pembangkang, Cholnanan Srikaew, berkata selama lapan tahun berkuasa, perdana menteri gagal menyelesaikan masalah negara, gagal menjana pertumbuhan atau meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Sebaliknya, mencipta lebih banyak masalah, terutama rasuah," katanya.

Bagaimanapun, Prayuth menolak dakwaan itu dengan alasan kerajaan sudah selesaikan banyak isu, termasuk memulihkan pelancongan dan menyediakan langkah kewangan untuk menangani kesukaran pandemik.

"Saya perlu menjelaskan kerana tuduhan itu tidak benar sama sekali," katanya.

parti pembangkang utama Pheu Thai, penjelmaan terbaru parti popular yang memenangi lima pilihan raya sejak 2001, turut melancarkan kempen yang membenarkan orang ramai mengundi menentang kerajaan melalui aplikasi Line.

Kumpulan protes pimpinan belia yang muncul pada Julai 2020 untuk mencabar kerajaan juga merancang perhimpunan di hadapan Parlimen pada setiap hari persidangan untuk memberi tekanan kepada Prayuth dan menteri di bawahnya. - REUTERS

Berita Harian X