BANGKOK: Puluhan aktivis prodemokrasi Thailand menjadi sasaran perisian intipan kontroversi buatan Israel, Pegasus, semasa kemuncak protes antikerajaan yang sengit dua tahun lalu.
Perisian Pegasus, yang dicipta oleh firma Israel NSO Group, dikatakan boleh memperoleh data dan mengaktifkan kamera atau mikrofon sebaik saja ia berjaya menyusup ke peranti mudah alih.
Menurut laporan badan pemerhati keselamatan siber Kanada, Citizen Lab dengan kerjasama kumpulan Thai iLaw dan DigitalReach, mengenal pasti kira-kira 30 aktivis, ahli akademik, peguam dan pekerja NGO kebanyakannya berkait pertubuhan hak sivil, mendakwa peranti mudah alih mereka terjejas.
"Perkara itu berlaku dari Oktober 2020 hingga November 2021, bertepatan dengan tempoh protes prodemokrasi yang meluas dan kebanyakannya menyasarkan tokoh utama dalam gerakan prodemokrasi," menurut laporan itu.
Bagaimanapun, laporan itu tidak mengatakan secara pasti siapa yang berada di sebalik penggunaan perisian pengintip, walaupun ia menyatakan bahawa Kumpulan NSO hanya menjual teknologi itu kepada kerajaan.
Dalam ringkasan eksekutifnya sendiri mengenai penemuan itu, NGO Thai iLaw berkata, boleh disimpulkan bahawa penggunaan Pegasus terhadap penentang akan memberi manfaat besar kepada kerajaan Thailand.
Antara yang disasarkan ialah peguam dalam kes menghina Raja (lesse majeste), Arnon Nampa; ketua protes, Panusaya Sithijirawattanakul dan aktivis, Jatupat Boonpattararaksa.
Panusaya kini diikat jamin dan menghadapi 10 pertuduhan fitnah terhadap institusi diraja, manakala Jatupat dinafikan jaminan awal tahun ini selepas turut didakwa menghina institusi diraja.
Mereka yang terjejas sudah dimaklumkan pada November 2021 apabila Apple memberitahu bahawa peranti mereka disasarkan oleh serangan yang disokong kerajaan.
Amnesty International turut menjalankan siasatan bebas dan mengutuk penggodaman itu.
Ahli teknologi, Etienne Maynier, berkata pendedahan itu adalah contoh betapa hinanya pihak berkuasa sehingga sanggup bertindak sedemikian bagi membendung bantahan secara aman.
"Perlu diingat bahawa ini hanya apa yang ditemui setakat ini dan skala percubaan pengawasan ini boleh menjadi lebih besar dan lebih merosakkan," katanya.
Kumpulan NSO kini disaman di Amerika Syarikat (AS) oleh Apple yang mendakwa perisian pengintip firma itu digunakan untuk menggodam beberapa iPhone di seluruh dunia. - AFP