WASHINGTON: Moderna Inc (Moderna) memaklumkan ia sedang membangunkan dua jenis vaksin COVID-19 bagi menentang varian Omicron, satu bagi varian BA.1 dan satu lagi khusus untuk varian BA.4 serta BA.5.
Pembuat vaksin termasuk Moderna dan pesaingnya, Pfizer Inc (Pfizer) sedang membangunkan vaksin baharu menyasarkan varian Omicron yang semakin pantas merebak terutama subvarian BA.4 dan BA.5 yang kini dominan di Amerika Syarikat (AS).
Moderna berkata keputusan membangunkan vaksin berlainan itu dibuat berdasarkan permintaan pasaran bagi suntikan terhadap subvarian coronavirus berkenaan.
Vaksin bivalen iaitu boleh menangkis dua varian coronavirus berlainan, termasuk varian asal sejak 2020 dan varian Omicron yang baharu.
Moderna berkata, data klinikal vaksin mRNA-1273.214 keluarannya yang dibuat khusus bagi menangani varian BA.1, menunjukkan keupayaan lebih tinggi antibodi bagi meneutralkan varian pantas merebak seperti BA.4 dan BA.5, berbanding dos penggalak sedia ada.
Dos penggalak kedua keluaran syarikat itu, mRNA 1273.222, adalah berasaskan strain the BA.4/5 dan sedang dibangunkan berdasarkan nasihat terkini Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS.
Penganalisis Jefferies, Michael Yee, berkata data baharu Moderna mengenai dos vaksin penggalak menyasarkan subvarian BA.1 menunjukkan daya ketahanannya lebih tinggi dan kesan balas antibodi.
Namun, tambah beliau, subvarian asal Omicron di AS kini sudah berubah dan FDA dijangka meluluskan dos vaksin penggalak BA.4/5. - REUTERS