Jumaat, 17 Jun 2022 | 8:16am
Lazada sudah mengemukakan permohonan maaf bulan lalu. - Foto AGENSI
Lazada sudah mengemukakan permohonan maaf bulan lalu. - Foto AGENSI

Tiga pempengaruh dituduh hina keluarga diraja Thailand

BANGKOK: Tiga pempengaruh media sosial dituduh di bawah undang-undang 'lese majeste' berhubung iklan kontroversi dihasilkan untuk sebuah syarikat e-dagang yang didakwa mempersendakan seorang ahli keluarga diraja.

Klip dipaparkan di TikTok bagi mempromosikan platform jual beli dalam talian, Lazada, membangkitkan kemarahan orang ramai yang menggesa supaya syarikat itu diharamkan di Thailand.

Tindakan itu juga menyebabkan tentera Thailand menghalang kenderaan penghantaran syarikat berkenaan dari premisnya.

Kritikan terhadap monarki dianggap 'tabu' di Thailand yang mana Raja Maha Vajiralongkorn serta keluarganya dilindungi dengan undang-undang diraja paling tegas di dunia dan setiap pertuduhan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Kolonel Polis Siriwat Deepo dari Bahagian Pencegahan Jenayah Teknologi, mengesahkan penahanan tiga individu yang berlakon dalam klip video terbabit, iaitu Anuwat Pratumklin, Kittikhun Thamakitirat dan Thidaporn Chaokovieng.

Bagaimanapun, peguam mereka, Duangrat Srinaunt, memaklumkan ketiga-tiga pempengaruh terbabit sudah dibebaskan dengan ikat jamin selain menafikan tuduhan berkenaan.

Menerusi dua klip video yang tular bulan lalu, Thidaporn yang memakai pakaian sutera tradisional Thailand, melakonkan watak ibu seorang pempengaruh sambil duduk di atas kerusi roda.

Babak terbabit mengundang kemarahan penyokong sistem pemerintahan beraja yang mendakwa ia sebagai penghinaan kepada ahli keluarga diraja.

Klip terbabit juga mengundang kritikan daripada golongan kurang upaya yang menyifatkannya sebagai tidak hormat kepada pengguna kerusi roda.

Dalam pada itu, Lazada, platform jual beli dalam talian terbesar di Asia Tenggara sudah mengemukakan permohonan maaf bulan lalu.

"Kami faham kandungan terbabit menyebabkan orang awam trauma dan menjatuhkan maruah," kata syarikat berkenaan. - AFP

Berita Harian X