Isnin, 16 Mei 2022 | 11:27am
Gambar hiasan - FOTO REUTERS
Gambar hiasan - FOTO REUTERS

Singapura kesan 3 kes tempatan Omicron varian BA.4 dan BA.5

SINGAPURA: Singapura merekodkan tiga penularan tempatan COVID-19 membabitkan dua kes varian BA.4, dan satu jangkitan varian BA.5, hari ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini.

"Ia adalah kes komuniti yang pertama disahkan sebagai jangkitan varian BA.4 dan BA.5," kata kementerian itu dalam kenyataan melalui laman sesawangnya.

Kementerian itu juga maklum bahawa Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah telah mengklasifikasikan varian terbabit sebagai varian membimbangkan (VOC), baru-baru ini.

Menurut MOH, jangkitan varian BA.4 dan BA.5 dalam kes berkenaan dikesan hasil ujian lanjutan terhadap sampel saringan 'polymerase chain reaction' (PCR) yang positif serta disahkan melalui penjujukan genom keseluruhan (WGS).

"Semua kes terbabit tidak mempunyai gejala ataupun bergejala ringan seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak, serta tidak perlu dimasukkan ke hospital.

"Mereka sudah lengkap vaksinasi dan menerima dos penggalak sebelum ini," katanya.

MOH berkata, ketiga-tiga kes terbabit menjalani kuarantin kendiri sebaik saja diuji positif COVID-19.

Kementerian itu memaklumkan, kes varian BA.4 serta BA.5 kali pertama dilaporkan di Afrika Selatan pada awal tahun ini, dan kini menjadi varian dominan di negara berkenaan.

Katanya, kedua-dua varian itu mengandungi mutasi dalam protein pepaku yang dilihat menjejaskan sistem imun serta mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi berbanding BA.1 dan BA.2 yang menyebabkan gelombang penularan Omicron pada awal tahun ini.

Dengan memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kementerian itu berkata, sekurang-kurang 1,000 kes BA.4 dan BA.5 sudah dilaporkan di sekurang-kurang 16 negara, setakat 11 Mei lalu.

"Kami akan meningkatkan usaha pengawasan dan terus memantau penularan varian BA.4 dan BA.5 di Singapura," menurut kementerian itu. – BERNAMA

Berita Harian X