Isnin, 9 Mei 2022 | 7:01pm
Ketua Jawatankuasa Penasihat, Penyertaan dan Inovasi Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra, juga anak bongsu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang dijangka dikemukakan sebagai calon Perdana Menteri Thailand pada pilihan raya umum akan datang. - Foto AFP
Ketua Jawatankuasa Penasihat, Penyertaan dan Inovasi Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra, juga anak bongsu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang dijangka dikemukakan sebagai calon Perdana Menteri Thailand pada pilihan raya umum akan datang. - Foto AFP

Paetongtarn Shinawatra teruskan dinasti keluarga

BANGKOK: Anak bongsu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, Paetongtarn Shinawatra, 35, kini menjadi tumpuan dalam politik negara itu selepas dijangka menjadi calon perdana menteri partinya.

Seorang muka baru dalam politik, Paetongtarn, yang mengetuai Jawatankuasa Penasihat, Penyertaan dan Inovasi Parti Pheu Thai, enggan memberi sebarang komen mengenai peluangnya bertanding sebagai calon perdana.

Bagaimanapun, parti pembangkang utama Thailand itu dijangka mengumumkannya sebagai calon selepas Parlimen dibubarkan.

Berucap pada perhimpunan agung Parti Pheu Thai Ahad lalu, Paetongtarn berkata parti itu bekerja keras meletakkan asas bagi menyelesaikan masalah negara dan menyediakannya untuk masa depan, lapor akhbar Bangkok Post.

Diberi jolokan 'Ketua Keluarga Pheu Thai', beliau menggariskan rancangan lima mata pada perhimpunan parti untuk Thailand, sejajar dengan matlamat Pheu Thai mencapai 'kemenangan besar' pada pilihan raya umum akan datang.

Pelan itu termasuk menggalakkan penyertaan akar umbi dalam penggubalan dasar, menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan sektor pertanian dan menggarap pendigitalan dan teknologi seperti pentas dalam talian dan mata wang kripto.

Menurut The Straits Times, Pheu Thai dan parti politik utama lain di Thailand sudah mula bersiap menghadapi pilihan raya ketika kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, bergelut dengan keretakan dalam gabungan itu.

Penganalisis politik menjangka pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi selepas Thailand menjadi tuan rumah sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) November ini.

"Pada hari kerajaan membubarkan Parlimen, kami akan bersedia. Saya sendiri akan mula bekerja sebagai anggota sepenuh masa dan ketua penasihat Pheu Thai.

"Saya yakin kami boleh mengubah Thailand daripada negara yang dibebani hutang dan tempat penuh sengsara tanpa masa depan kepada sebuah negara yang penuh dengan peluang dan harapan," kata Paetongtarn kepada penyokong parti.

Menurut Bangkok Post, Paetongtarn bagaimanapun enggan menyatakan sama ada beliau akan muncul sebagai calon perdana menteri Pheu Thai.

Beliau berkata, ini bukan masanya mengisytiharkan dirinya bersedia untuk pencalonan sedangkan parti itu belum membuat sebarang keputusan.

Menjawab soalan The Straits Times mengenai prospek parti itu mencapai matlamat mendapatkan sekurang-kurangnya 250 daripada 400 kerusi Parlimen yang dipertaruhkan dalam pilihan raya, Paetongtarn berkata beliau yakin mendapat kepercayaan pengundi.

"Tidak perlu (bagi parti) membuktikan apa-apa lagi kerana apa yang dijanjikan kepada rakyat (sudah dilakukan). Jadi, saya tidak nampak sebarang cabaran," katanya.

Pheu Thai adalah generasi ketiga Parti Thai Rak Thai pimpinan Thaksin, yang dibubarkan pada 2007 kerana melanggar undang-undang pilihan raya.

Ia bergabung semula sebagai Parti Kuasa Rakyat sebelum menjadi Pheu Thai.

Thaksin, 72 tahun, digulingkan dalam satu rampasan kuasa pada 2006 dan sejak itu tinggal dalam buangan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), untuk mengelak tuduhan rasuah.

Beliau dikatakan masih mempunyai pengaruh besar ke atas Pheu Thai, yang memenangi pilihan raya pada 2011.

Kemenangan itu turut melonjakkan makcik Paetongtarn, Yingluck Shinawatra, adik bongsu Thaksin, daripada seorang yang masih mentah dalam politik kepada Perdana Menteri Thailand dalam beberapa minggu.

Namun, Mahkamah Perlembagaan Thailand melucutkan jawatan Yingluck pada 2014 dan beliau juga kini tinggal dalam buangan, dilaporkan di London.

Kini tumpuan beralih pada Paetongtarn, yang tampil buat julung kali dalam satu mesyuarat Pheu Thai pada Oktober tahun lalu dan menerima pelbagai lantikan, sekali gus mencetuskan spekulasi beliau berpotensi dikemukakan sebagai calon perdana menteri.

Apabila ditanya sekali lagi Ahad lalu mengenai kemungkinan itu, jawapannya lebih kurang sama, ditambah alasan 'parti belum membuat apa-apa keputusan lagi'.

Ditanya sama ada usaha Pheu Thai akan dibayangi pengaruh bapanya, Paetongtarn, yang mengetuai cabang perhotelan firma hartanah Rende Development milik keluarganya, berkata bapanya terbabit dalam semua aspek.

"(Segala) yang saya lakukan dalam hidup, daripada yang dibuat secara suka-suka kepada perkara penting, beliau sentiasa terkait... Jadi, komen seperti ini tidak menjejaskan saya, saya tahu apa yang saya lakukan," katanya. - AGENSI

Berita Harian X