Selasa, 3 Mei 2022 | 7:16pm
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Penyakit hati misteri ragut nyawa tiga kanak-kanak Indonesia

JAKARTA: Tiga kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital di Indonesia meninggal dunia akibat hepatitis kronik pada April lalu, namun punca penyakit gagal dikenal pasti.

Sehubungan itu, jumlah kematian global akibat penyakit hati misteri itu meningkat kepada sekurang-kurangnya empat individu membabitkan kanak-kanak dari Amerika Syarikat (AS) ke Asia.

Kanak-kanak itu dikesan mengalami simptom termasuk loya, muntah, cirit-birit serius, demam, demam kuning, sawan dan tidak sedarkan diri, kata kementerian dalam satu kenyataan semalam.

Ibu bapa digesa segera membawa anak-anak yang menunjukkan gejala berkenaan ke hospital, menurut kenyataan sama.

Kementerian sedang menjalankan ujian untuk menentukan punca penyakit berkenaan dan sudah mengeluarkan pekeliling untuk meningkatkan pengawasan di seluruh negara.

Pada hujung minggu lalu, Singapura turut mengesahkan kes hepatitis kronik pada bayi berusia 10 bulan dan sedang menyiasat sama ada ia sama dengan kes lain yang dilaporkan di seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak lain meninggal dunia akibat hepatitis kronik dan puluhan lagi di seluruh dunia sudah menjalani pemindahan hati selepas menghidap penyakit itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walaupun punca penyakit itu masih belum dapat dipastikan, penyiasat sedang mengkaji keluarga patogen yang dikenali sebagai adenovirus yang menyebabkan pelbagai penyakit termasuk selesema biasa.

Kes berkenaan pertama kali dikenal pasti di hospital Alabama pada Oktober 2021 apabila lima kanak-kanak dimasukkan dengan kerosakan hati akibat punca yang tidak diketahui.

Awal tahun ini, 10 kes dikenal pasti di Scotland dan menurut WHO lagi, sehingga 21 April, 169 lagi kes dikesan. - AFP

Berita Harian X