Ahad, 1 Mei 2022 | 11:39am
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha. - Foto AFP
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha. - Foto AFP

PM Thailand perlu letak jawatan sebelum 24 Ogos

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, mesti meletak jawatan sebelum 24 Ogos ini apabila tempoh penggal lapan tahunnya tamat mengikut undang-undang.

Penyarah Undang-Undang di Universiti Thammasat, Prof Prinya Thaewanarumitkul, berkata demikian pada satu seminar Jumaat lalu anjuran keluarga mangsa operasi Black May pada 1992.

Beliau menegaskan, kemelut politik akan bertambah buruk sekiranya Pryut cuba melanjutkan tempoh pentadbirannya melepasi apa yang ditetapkan mengikut undang-undang.

Menurut Perlembagaan Thailand sekarang, tempoh maksimum penggal bagi seorang perdana menteri ialah lapan tahun.

Bagaimanapun, wujud pwrtikaian mengenai tarikh bila pentadbiran Prayut sebenarnya bermula, sama ada selepas 2014 apabila beliau selaku ketua tentera melakukan rampasan kuasa atau pada 2019, bila dilantik oleh Parlimen selepas pilihan raya umum.

Prinya berkata kerajaan Prayut menyebabkan tekanan besar terhadap tiga tiang utama kerajaan (merujuk kepada negara, agama dan institusi diraja) dalam tempoh lapan tahun pentadbirannya.

Tambah beliau, keputusan perdana menteri untuk melanjutkan pentadbirannya menjadi punca utama masalah politik yang menjejaskan Thailand.

Sebelum ini, kata Prinya, Prayut meminta tempoh pentadbirannya dilanjutkan sedikit masa lagi supaya beliau dapat 'mengembalikan kegembiraan kepada rakyat'.

Bagaimanapun, beliau mengambil kesempatan melanjutkan tempoh jawatannya dengan bantuan Senat yang dilantik junta tentera dan pada masa sama, meminda undang-undang bagi menghalang asetnya diperiksa.

Kata Prinya, ada yang membangkitkan persoalan bila tempoh jawatan Prayut bermula, sama ada pada 2014, bila perlembagaan digubal pada 2014 atau pada 2019.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mengikut undang-undang, tempoh jawatan Prayut akan berakhir pada 24 Ogos ini, berdasarkan garis panduan bekas Presiden Mahkamah Perlembagaan. - AGENSI

Berita Harian X