Jumaat, 29 April 2022 | 12:14pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

12 wanita korban tanah runtuh lombong emas di Indonesia

MEDAN, INDONESIA: Dua belas wanita yang bekerja di lombong emas haram di wilayah Sumatera Utara, Indonesia maut ditimbus tanah runtuh di lombong berkenaan.

Runtuhan tebing di daerah Mandailing Natal di Sumatera Utara yang berlaku petang semalam mengorbankan mangsa berumur antara 30 hingga 55 tahun yang sedang menggali emas di lombong haram terbiar.

Lombong tidak berlesen adalah perkara biasa di Indonesia yang kaya dengan mineral, dengan tapak terbiar menarik minat penduduk tempatan mencari lebihan bijih emas tanpa peralatan keselamatan yang betul.

"Tebing di sekeliling lombong runtuh dan menimbus 12 wanita dan mengorbankan mereka semua," ketua polis tempatan Marlon Rajagukguk memberitahu AFP lewat Khamis, sambil menjelaskan mangsa bukan pelombong profesional.

Dua lagi wanita yang bekerja bersama mangsa terselamat daripada bencana itu dan berlari pulang ke kampung untuk melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Anggota penyelamat mengambil masa berjam-jam untuk memindahkan mayat mangsa yang berada di dalam lubang sedalam dua meter dipenuhi lumpur.

"Semua mayat mangsa diserahkan kepada keluarga mereka," kata Rajagukguk.

Kegiatan perlombongan emas secara haram berleluasa di Mandailing Natal, kira-kira 300 km di selatan ibu kota wilayah Medan, dan beberapa tapak ditinggalkan oleh pengusaha.

Kemalangan perlombongan kerap berlaku di seluruh nusantara akibat tanah runtuh, terutamanya ketika musim panas monsun.

Tahun lalu enam pelombong maut apabila lombong emas haram runtuh di Parigi Moutong, Sulawesi.

Pada 2020, 11 pelombong di Sumatera terbunuh dalam tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat. - AFP

Berita Harian X