Rabu, 27 April 2022 | 11:35am
Pekerja pejabat di Singapura buat pertama kali menikmati makan tengah hari tanpa kekangan COVID-19, yang kini sebahagian besarnya dilonggarkan selepas hampir dua tahun. - Foto REUTERS
Pekerja pejabat di Singapura buat pertama kali menikmati makan tengah hari tanpa kekangan COVID-19, yang kini sebahagian besarnya dilonggarkan selepas hampir dua tahun. - Foto REUTERS

Singapura batal SafeEntry, TraceTogether di kebanyakan tempat

SINGAPURA: Buat kali pertama sejak dua tahun lalu, orang ramai kini tidak perlu menggunakan SafeEntry atau TraceTogether untuk memasuki kebanyakan tempat seperti pusat beli-belah, pasar raya dan masjid.

Stesen dan pengadang SafeEntry (mirip kepada MySejahtera di Malaysia) sudah dibuka di kebanyakan tempat di serata Singapura semalam ketika langkah sekatan COVID-19 terus dilonggarkan.

Ini membolehkan orang ramai keluar masuk tempat itu tanpa perlu menggunakan token atau aplikasi TraceTogether mereka.

Ini menyusuli pengumuman Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19 minggu lalu untuk melonggarkan lagi sekatan coronavirus.

Antara lain, tiada lagi had saiz kumpulan dan jumlah pekerja yang boleh kembali ke tempat kerja mulai semalam, sedang negara itu mencapai detik penting dalam usaha memerangi COVID-19.

Singapura turut menurunkan tahap risiko penularan COVID-19 ke paras 'Kuning' selepas lebih dua tahun berada di tahap 'Jingga' atau 'risiko tinggi' di bawah Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon).

Sementara kebanyakan tempat tidak lagi memerlukan pengunjung menggunakan aplikasi atau token TraceTogether mereka, orang ramai digalak terus mengekalkan aplikasi berkenaan.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada varian baru yang timbul dan tindakan pengurusan keselamatan Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) perlu kembali dilaksanakan.

Susulan pengumuman minggu lalu bahawa VDS tidak tidak lagi diperlukan dalam kebanyakan keadaan mulai semalam, banyak tempat seperti pusat beli-belah membuat persiapan untuk kembali kepada keadaan seperti sebelum pandemik.

Individu yang belum divaksinasi sepenuhnya misalnya kini dibenarkan masuk ke pusat beli-belah.

Sesetengah pusat beli-belah mula membuka pengadang SafeEntry mereka seawal kelmarin.

Beberapa restoran dan kedai makan juga telah membuka pelekat yang dilekatkan sebelum ini untuk mengingatkan orang ramai memastikan jarak selamat serta kod QR TraceTogether.

Mulai hari ini, VDS diteruskan bagi kafe, restoran dan kedai kopi tetapi penggunaan TraceTogether dan SafeEntry dihentikan dan sebaliknya, pemeriksaan rambang ke atas individu akan dijalankan oleh pekerja atau pegawai penguatkuasaan.

Selain itu, tiada lagi had saiz kumpulan dan had jumlah pengunjung ke rumah manakala orang ramai boleh terus memilih sama ada mahu atau tidak memakai pelitup di luar rumah.

Bagaimanapun, orang ramai masih perlu memakai pelitup ketika berada dalam bangunan seperti pusat beli-belah dan pusat penjaja serta semasa menaiki pengangkutan awam.

Ini bermakna hampir kesemua langkah pengurusan selamat untuk menangani COVID-19 di Singapura, kecuali pemakaian pelitup di dalam bangunan, kini sudah ditiadakan. - AGENSI

Berita Harian X