Selasa, 26 April 2022 | 5:35pm
Aung San Suu Kyi. - Foto AGENSI
Aung San Suu Kyi. - Foto AGENSI

Keputusan perbicaraan rasuah Suu Kyi diketahui esok

YANGON: Mahkamah junta Myanmar akan menjatuhkan keputusan perbicaraan rasuah Aung San Suu Kyi esok, menurut sumber yang mengetahui perkara itu, dalam kes yang boleh menyaksikan pemenang Hadiah Nobel itu dipenjarakan selama 15 tahun.

Suu Kyi, 76, ditahan sejak rampasan kuasa tentera menggulingkan kerajaan awamnya pada Februari tahun lalu, menamatkan tempoh demokrasi negara yang singkat.

Beliau telah dikenakan pelbagai tuduhan jenayah, termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya, dan berdepan lebih 150 tahun penjara jika sabit kesalahan atas semua tuduhan.

Keputusan dalam perbicaraan rasuah, di mana Suu Kyi dituduh menerima rasuah wang tunai AS$600,000 (RM2.6 juta) dan jongkong emas, telah dijadualkan pada Selasa, kata sumber yang rapat dengan kes itu.

Namun, perbicaraan itu "ditangguhkan" tanpa keputusan, yang kini dijadualkan pada Rabu, tambah sumber itu.

Suu Kyi telah pun dijatuhkan hukuman penjara enam tahun kerana menghasut terhadap tentera, melanggar peraturan COVID-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi - walaupun beliau akan kekal di bawah tahanan rumah semasa beliau melawan tuduhan lain.

Wartawan telah dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah khas di ibu kota yang dibina tentera, Naypyidaw dan peguam Suu Kyi telah dilarang bercakap kepada media.

Suu Kyi menghadapi sejumlah 10 pertuduhan rasuah - setiap satu dengan kemungkinan hukuman penjara 15 tahun.

Beliau juga dibicarakan kerana melanggar akta rahsia rasmi, di mana beliau dituduh bersama ahli akademik Australia yang ditahan, Sean Turnell.

Lebih 1,700 orang telah terbunuh dan lebih 13,000 ditangkap dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa, menurut kumpulan pemantau tempatan. - AFP

Berita Harian X