Isnin, 25 April 2022 | 5:25pm
Suu Kyi dikenakan beberapa siri pertuduhan, termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya, dan berdepan berdekad penjara jika sabit kesalahan atas semua tuduhan. - Foto REUTERS
Suu Kyi dikenakan beberapa siri pertuduhan, termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya, dan berdepan berdekad penjara jika sabit kesalahan atas semua tuduhan. - Foto REUTERS

Mahkamah junta Myanmar tangguh keputusan perbicaraan rasuah Suu Kyi

YANGON: Mahkamah junta Myanmar hari ini menangguhkan memberikan keputusan pertama dalam perbicaraan rasuah pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi, seorang jurucakap junta memberitahu AFP, satu kes yang boleh menyaksikan pemenang Hadiah Nobel itu dipenjarakan selama 15 tahun.

Suu Kyi, 76, telah ditahan sejak jeneral melakukan rampasan kuasa dan menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu, menamatkan tempoh demokrasi negara Asia Tenggara yang singkat itu.

Beliau telah dikenakan beberapa siri pertuduhan, termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya, dan berdepan berdekad penjara jika sabit kesalahan atas semua tuduhan.

"Tiada keputusan hari ini untuk dalam perbicaraan rasuah di mana Suu Kyi dituduh menerima rasuah wang tunai AS$600,000 (RM2.6 juta) dan jongkong emas daripada bekas ketua menteri Yangon," jurucakap junta, Zaw Min Tun memberitahu AFP.

Beliau tidak memberikan sebarang butiran mengenai bila keputusan akan dicapai.

Wartawan telah dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah khas di ibu kota yang dibina tentera Naypyidaw dan peguam Suu Kyi telah dilarang bercakap kepada media.

Suu Kyi menghadapi sejumlah sepuluh pertuduhan rasuah - setiap satu dengan kemungkinan hukuman penjara 15 tahun.

Beliau juga dibicarakan kerana melanggar akta rahsia rasmi, di mana Suu Kyi dituduh bersama ahli akademik Australia yang ditahan, Sean Turnell.

Suu Kyi telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun kerana menghasut terhadap tentera, melanggar peraturan COVID-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi - walaupun beliau akan kekal di bawah tahanan rumah sementara melawan tuduhan lain.

Itu berkemungkinan mengecualikan pemimpin popular itu daripada pilihan raya yang dikatakan junta akan diadakan menjelang tahun depan.

Sejak rampasan kuasa, ramai ahli Liga Kebangsaan untuk Demokrasinya (NLD) - yang mengalahkan parti yang disokong tentera pada pilihan raya 2020 - telah ditangkap, dengan seorang ketua menteri dijatuhi hukuman penjara 75 tahun.

Di bawah rejim junta sebelum ini, Suu Kyi menghabiskan masa yang lama di bawah tahanan rumah di rumah agam era kolonial keluarganya di Yangon.

Lebih 1,700 orang telah terbunuh dan lebih 13,000 ditangkap dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa, menurut kumpulan pemantau tempatan. - AFP

Berita Harian X