Rabu, 20 April 2022 | 3:38pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Jangkitan COVID-19 Singapura berganda, catat satu kematian

SINGAPURA: Angka jangkitan harian COVID-19 direkodkan di Singapura semalam melonjak kepada 4,718 kes iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding sejumlah 2,480 kes dilaporkan kelmarin.

Angka itu lebih tinggi berbanding sepanjang minggu lalu kerana ia mencerminkan lonjakan jangkitan selepas hujung minggu, apabila lebih ramai orang keluar dalam pelbagai persekitaran sosial.

Ia sedikit lebih tinggi berbanding angka dicatatkan Selasa minggu lalu, apabila Kementerian Kesihatan (MOH) merekodkan 4,552 kes baharu COVID-19, membabitkan 278 kes dirawat di hospital, berbanding 261 orang pada 18 April lalu.

MOH dalam kemas kini di laman sesawangnya hari ini, melaporkan satu kes kematian dengan nisbah jangkitan mingguan COVID-19 berada pada paras 0.87 semalam, selain kadar itu dicatat di bawah angka satu sejak 2 Mac lalu.

Nisbah jangkitan mingguan merujuk kepada nisbah kes komuniti pada minggu lalu, berbanding minggu sebelumnya. Nisbah lebih daripada satu menunjukkan jumlah kes baharu mingguan COVID-19 semakin meningkat.

Sembilan pesakit di unit rawatan rapi, manakala 40 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan, selain 4,085 daripada kes tempatan dikesan melalui ujian pantas antigen (ART), bermakna mereka dinilai doktor kerana mempunyai gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 459 kes lagi dikesan melalui ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), selain terdapat 174 kes import baharu dengan 20 daripadanya dikesan melalui ujian PCR dan 154 melalui ART.

Singapura merekodkan 1,167,498 kes COVID-19, membabitkan 1,317 kematian, selain kira-kira 96 ​​peratus daripada penduduknya lengkap divaksinasi manakala 73 peratus penduduknya sudah menerima suntikan penggalak. - AGENSI

Berita Harian X