Ahad, 17 April 2022 | 6:28pm
Pegawai penjara berkawal semasa mereka bersiap sedia untuk membebaskan banduan di luar Penjara Insein di Yangon. - Foto AFP
Pegawai penjara berkawal semasa mereka bersiap sedia untuk membebaskan banduan di luar Penjara Insein di Yangon. - Foto AFP

Tahanan politik Myanmar tidak termasuk antara 1,600 dibebaskan

YANGON: Keluarga penunjuk perasaan Myanmar yang ditahan terpaksa berputih mata apabila tahanan politik tidak termasuk antara 1,600 orang yang dibebaskan junta sempena Tahun Baru dalam kalendar Buddha.

Tahun lalu, rampasan kuasa oleh pihak tentera yang menggulingkan kerajaan orang awam, dipimpin Aung San Suu Kyi, mencetuskan bantahan besar-besaran dan pemburuan berbahaya.

Televisyen negara mengumumkan 1,619 tahanan, termasuk 42 warga asing, diberikan pengampunan dan akan dibebaskan bagi menandakan sambutan tahun baru yang adalah tradisi tahunan, di mana tahun lalu seramai 23,000 tahanan dibebaskan.

Seorang banduan yang dibebaskan daripada penjara Insein Yangon, berkata kes politik dan penunjuk perasaan tidak termasuk antara mereka yang dibebaskan.

Orang ramai yang berkumpul di hadapan penjara, mula meninggalkan kawasan itu menjelang tengah hari.

Lebih 100 orang berkumpul dengan harapan untuk bertemu insan tersayang. Antara yang hadir adalah seorang wanita yang menunggu anak saudaranya berusia 19 tahun selepas penjara tahun atas tuduhan menghasut menentang tentera.

"Beliau masih muda dan mungkin mempunyai keinginan untuk menentang.

"Saya harap semua anak muda akan dibebaskan termasuk anak saudara saya. Mereka semua tidak bersalah," katanya yang enggan mendedahkan namanya.

Aye Myint, ibu kepada remaja perempuan berusia 19 tahun yang dipenjara tiga tahun atas tuduhan politik, berharap anaknya akan dibebaskan.

"Kini beliau sudah berada lebih dari setahun di penjara," katanya.

Sekitar tengah hari, pegawai penjara mengesahkan kira-kira 160 banduan termasuk enam wanita akan dibebaskan dari Insein, tanpa memberikan maklumat lanjut.

Tidak dinyatakan sama ada ahli ekonomi Australia, Sean Turnell, yang juga bekas penasihat Suu Kyi yang ditahan selepas rampasan kuasa akan dibebaskan.

Beliau kini menghadapi perbicaraan atas tuduhan melanggar Akta Rahsia Rasmi, yang membawa hukuman penjara 14 tahun.

Maklumat terperinci mengenai tuduhan dihadapinya tidak didedahkan kepada umum, walaupun televisyen negara memaklumkan beliau mempunyai akses kepada "maklumat kewangan rahsia negara" dan cuba melarikan diri dari Myanmar.

Myanmar memberikan pengampunan tahunan kepada ribuan tahanan bagi menandakan sambutan tahun baru yang biasanya diraikan dengan penuh kemeriahan.

Bagaimanapun tahun ini, tindakan keras tentera menyebabkan kebanyakan jalan di bandar utama bertukar sepi dengan penunjuk perasaan yang membantah pemerintahan junta. - AFP

Berita Harian X