Selasa, 12 April 2022 | 8:48pm
Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik empat lagi produk coklat Kinder keluaran Belgium dari pasaran. - Foto AGENSI
Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik empat lagi produk coklat Kinder keluaran Belgium dari pasaran. - Foto AGENSI

Singapura tarik balik 4 produk Kinder keluaran Belgium dari pasaran

SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik empat lagi produk coklat Kinder keluaran Belgium dari pasaran, berikutan amaran penarikan balik baharu yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Ireland (FSAI) kerana kemungkinan dicemari Salmonella.

Agensi itu mengarahkan lima pengimport untuk menarik balik produk terbabit.

"Penarikan balik produk itu sedang dibuat," menurut SFA di laman sesawangnya hari ini.

SFA mengumumkan menarik balik satu produk coklat Kinder pada 6 April sebelum diperluaskan kepada tiga lagi produk lain pada 8 April.

"Pengguna yang telah menggunakan produk terbabit dan khuatir dengan keadaan kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan. Mereka boleh menghubungi tempat pembelian atau pengimport untuk pertanyaan," jelas kenyataan itu.

Senarai pengimport ialah Redmart Ltd, Le Petit Depot Pte Ltd, Kaimay Trading Pte Ltd, Heinemann Asia Pacific Pte Ltd, Focus Network Agencies (S) Pte Ltd dan Walluco Pte Ltd.

Antara lapan produk coklat yang tersenarai ialah Kinder Egg Hunt Kit (150g), Kinder Mini Eggs (75g), Kinder Surprise Maxi (100g), dan Kinder Schokobons (semua bersaiz pek). - BERNAMA

Berita Harian X