Selasa, 12 April 2022 | 3:53pm
Aktivis yang membawa sepanduk mengambil bahagian dalam perhimpunan menyokong hak wanita yang menyeru kesaksamaan jantina dan membantah diskriminasi gender, semasa Hari Wanita Antarabangsa di luar kompleks Monumen Nasional (Monas) di Jakarta pada 8 Mac 2022. - REUTERS
Aktivis yang membawa sepanduk mengambil bahagian dalam perhimpunan menyokong hak wanita yang menyeru kesaksamaan jantina dan membantah diskriminasi gender, semasa Hari Wanita Antarabangsa di luar kompleks Monumen Nasional (Monas) di Jakarta pada 8 Mac 2022. - REUTERS

Parlimen Indonesia lulus RUU mengenai keganasan seksual

JAKARTA: Parlimen Indonesia hari ini meluluskan rang undang-undang (RUU) yang sekian lama ditunggu-tunggu untuk menangani keganasan seksual.

RUU itu bertujuan menyediakan rangka kerja undang-undang untuk mangsa mendapatkan keadilan di negara yang mana penderaan seksual sering dianggap sebagai perkara peribadi.

Majoriti penggubal undang-undang menyokong RUU itu pada sidang pleno di Parlimen, mengetepikan tentangan daripada beberapa kumpulan konservatif di negara majoriti Islam terbesar dunia selepas enam tahun diperdebatkan.

"Kami berharap pelaksanaan undang-undang ini dapat menyelesaikan kes keganasan seksual," kata Speaker Dewan, Puan Maharani.

RUU itu disokong secara meluas dalam kalangan aktivis, walaupun ada antara mereka membantah skopnya yang terbatas dengan hanya beberapa jenayah seks dimasukkan dan tidak memasukkan klausa khusus mengenai rogol yang dikatakan kerajaan akan dimasukkan dalam undang-undang lain.

"Ini sudah tentu menjadi satu langkah ke hadapan," kata Pakar Undang-undang di Pusat Pengajian Jentera, Asfinawati yang sering membantu mangsa keganasan seksual sambil menyatakan takrifan rogol yang kini dilindungi di bawah kanun jenayah, masih perlu dijelaskan dengan lebih terperinci.

Aduan mengenai keganasan seksual semakin meningkat di Indonesia, namun pendakwaan jenayah seks menjadi rumit berikutan ketiadaan rangka kerja undang-undang yang berdedikasi, manakala kebimbangan mangsa untuk dimalukan semasa disoal siasat menghalang ramai daripada bersuara, menurut aktivis.

Draf akhir undang-undang itu termasuk hukuman penjara sehingga 12 tahun untuk jenayah penderaan seksual fizikal, baik dalam perkahwinan dan luar perkahwinan, 15 tahun untuk eksploitasi seksual, sembilan tahun untuk perkahwinan paksa yang merangkumi perkahwinan kanak-kanak dan empat tahun jenayah seksual secara suka sama suka.

Ia menetapkan mahkamah mesti memaksa pelaku yang disabitkan membayar ganti rugi dan pihak berkuasa untuk memberi kaunseling kepada mangsa.

Di bawah cadangan terdahulu, undang-undang itu juga akan meliputi pengguguran dan memberikan definisi yang lebih jelas mengenai apa yang dimaksudkan dengan rogol.

Suruhanjaya Kebangsaan Mengenai Keganasan Terhadap Wanita (Komnas Perempuan) dan kumpulan masyarakat sivil mula-mula mencadangkan idea perundangan sedekad lalu dan RUU sudah dikemukakan kepada dewan empat tahun berikutnya.

Pada Januari lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo memaklumkan kerajaannya bersedia mempercepatkan undang-undang baharu yang bertujuan untuk memudahkan sebutan kes dan menjamin sabitan.

Satu parti di parlimen, Parti Keadilan Sejahtera Islam (PKS), bagaimanapun membantah RUU itu, mengatakan ia harus mengawal selia seks luar nikah dan menggesa larangan hubungan seksual berdasarkan apa yang disifatkannya sebagai 'menyimpang' orientasi seksual. - REUTERS

Berita Harian X