Selasa, 12 April 2022 | 1:44pm
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membawa keluar mangsa tanah runtuh akibat ribut tropika Megi, di Cantagnos, Baybay, di wilayah Leyte, Filipina. - Foto AFP
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membawa keluar mangsa tanah runtuh akibat ribut tropika Megi, di Cantagnos, Baybay, di wilayah Leyte, Filipina. - Foto AFP

Usaha SAR mangsa ribut Megi dipergiatkan di Filipina

MANILA: Hujan lebat dan lumpur menghalang usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir dan tanah runtuh di Filipina ketika angka kematian akibat ribut tropika Megi meningkat kepada 28 mangsa.

Sejak beberapa hari lalu, lebih 17,000 orang meninggalkan kediaman mereka akibat ribut melanda wilayah yang sering terkena bencana alam itu, sehingga menenggelamkan rumah, jalan raya dan memutuskan bekalan elektrik.

Sekurang-kurangnya 21 terbunuh setakat ini, selepas tanah runtuh melanda beberapa perkampungan di wilayah Leyte, antara kawasan yang teruk terkena ribut di tengah Filipina.

Menurut agensi bencana kebangsaan, tiga orang terbunuh di wilayah tengah Negros Oriental dan tiga lain di pulau utama selatan Mindanao.

Gambar yang diambil juga menunjukkan bumbung beberapa kediaman di Bunga iaitu salah satu komuniti di Leyte yang terjejas.

Usaha SAR tertumpu di perkampungan berdekatan iaitu di Cantagnos, di mana pihak berkuasa memberitahu berlaku dua kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Sesetengah penduduk berjaya melarikan diri dan ada yang ditarik keluar hidup-hidup dari timbunan lumpur, namun masih ramai dikhuatiri terperangkap.

Di Kantagnos, lima disahkan terkorban manakala jumlah mereka yang hilang masih belum dapat dipastikan.

Video oleh Pengawal Pantai Filipina yang dikongsi di laman Facebook menunjukkan enam penyelamat menggunakan pengusung bagi membawa seorang wanita diselaputi lumpur ke kawasan selamat.

Datuk Bandar Leyte's Baybay, Jose Carlos Cari, berkata, berlaku tanah runtuh kecil dan beberapa orang berjaya lari menyelamatkan diri sebelum ditimpa runtuhan besar menimbus seluruh perkampungan.

"Kami masih mencari ramai mangsa, terdapat 20 perumahan di sini tetapi cuaca buruk menjejaskan usaha SAR. Kami sedang berusaha, namun berdepan keadaan sukar lagi berbahaya.

"Jentera sudah digerakkan dan semuanya bersedia, namun kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana hujan masih lebat dan sungai melimpah," katanya.

Pihak tentera menyertai pengawal pantai, polis dan anggota bomba dalam usaha SAR.

Jurucakap agensi bencana kebangsaan, Mark Timbal, berkata tanah runtuh di sekitar bandar Baybay yang melanda penempatan terletak di luar kawasan bahaya mengejutkan orang ramai.

"Terdapat mangsa yang berada di dalam rumah ketika ditimbus tanah runtuh," katanya. - AFP

Berita Harian X