Jumaat, 8 April 2022 | 3:46pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Singapura penjarakan warga Australia baling botol wain, membunuh

SINGAPURA: Mahkamah Singapura hari ini menjatuhi hukuman penjara lima setengah tahun terhadap seorang lelaki warga Australia, kerana membunuh seorang lelaki tua warga Singapura dan membaling botol wain sehingga mencederakan isteri mangsa.

Hakim menyifatkan tindakan tertuduh sebagai permusuhan agama terhadap orang Islam.

Andrew Gosling disabitkan menyebabkan kematian dan cedera teruk menerusi tindakan terburu-buru, dengan membaling sebotol wain terhadap sekumpulan individu yang tinggal dua tingkat di bawahnya.

Dia didapati menyerang seorang warga emas berusia 73 tahun dan membunuhnya pada 2019.

Botol yang dibaling itu kemudian melantun sehingga mencederakan bahu isteri warga emas itu.

"Saya bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kesalahan membabitkan unsur demonstrasi permusuhan agama terhadap orang Islam.

"Kesalahan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama Singapura dengan secara serius serta tidak boleh dibiarkan dan mesti ditangani dengan tegas," kata hakim, Victor Yeo.

Singapura merangkumi pelbagai bangsa memiliki populasi seramai 5.5 juta orang, mencakupi 16 peratus orang Islam dan memiliki masyarakat beragama Buddha dan Kristian yang besar.

Sebahagian besar populasi republik itu ada etnik Cina, disusuli Melayu dan India selaku minoriti, menurut data bancian pada 2020.

Mangsa dikenalpasti sebagai seorang kaum Melayu beragama Islam.

Mahkamah memaklumkan, semasa siasatan, Gosling mengakui marah dan kecewa terhadap serangan militan Islam di Bali dan Melbourne yang menyaksikan ramai warga Australia maut.

Dia kemudiannya mahu 'mengejutkan' kumpulan itu selepas mengenalpasti mereka sebagai orang Islam.

Menurut pendakwa raya, Gosling yang berusia 49 tahun ketika melakukan jenayah itu bertindak melarikan diri, menjerit dengan berunsurkan menghina agama orang Islam.

Tambah pihak pendakwaan, tindakan Gosling mempunyai impak yang lebih meluas sehingga menimbulkan keresahan di Singapura, terutama dalam kalangan penduduk beragama Islam dengan lebih meluas serta menggambarkan permusuhan agama.

Peguam Gosling berkata, pengambilan alkohol mungkin menjejaskan pertimbangan anak guamnya sambil memetik laporan psikiatri dan berhujah bahawa perbuatan itu tidak mungkin bermotifkan agama.

Justeru, permohonan rayuan dibuat bagi hukuman itu. - REUTERS

Berita Harian X