Jumaat, 1 April 2022 | 8:21am
Orang ramai merentasi Tambak Johor apabila sempadan Malaysia -Singapura dibuka tepat pada jam 12 tengah malam tadi. - Foto BERNAMA
Orang ramai merentasi Tambak Johor apabila sempadan Malaysia -Singapura dibuka tepat pada jam 12 tengah malam tadi. - Foto BERNAMA

Lebih 200 beratur awal di Pusat Pemeriksaan Woodlands

SINGAPURA: Orang ramai tiba di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas lebih tiga jam sebelum pembukaan sempadan Singapura-Malaysia pada hari ini.

The Straits Times melaporkan, sebahagian besar daripada mereka menyatakan rasa tidak sabar untuk merentasi sempadan yang ditutup sejak 17 Mac 2020.

Menjelang 10.50 malam tadi, lebih 200 daripada mereka, kebanyakannya rakyat Malaysia, sudah menunggu di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Bermula hari ini, individu yang divaksin sepenuhnya boleh keluar masuk Singapura dan Malaysia tanpa perlu mengambil sebarang ujian COVID-19 atau dikuarantin.

Mereka juga tidak perlu mengambil sebarang bas Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL).

Orang ramai berpusu-pusu merentasi Tambak Johor selepas pembukaan sempadan negara, tengah malam tadi. - Foto BERNAMA
Orang ramai berpusu-pusu merentasi Tambak Johor selepas pembukaan sempadan negara, tengah malam tadi. - Foto BERNAMA

Selain itu, tidak akan ada lagi had pada bilangan pengembara darat harian, yang sebelum ini had semasa ditetapkan sekitar 6,800 pengembara setiap hari melalui VTL.

Pembukaan semula sempadan darat dijangka merancakkan semula perjalanan singkat antara Malaysia dengan Singapura.

Menurut seorang jurucakap Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sehingga 6 petang semalam, pihaknya menerima sekitar 200,000 permohonan bagi Permit Masuk Kenderaan (VEP).

"Ini menunjukkan permintaan bagi perjalanan rentas sempadan. Kesesakan semasa waktu sibuk dijangka dan pengembara diminta memeriksa maklumat lalu lintas sebelum pergi ke pusat pemeriksaan," katanya. - AGENSI

Berita Harian X