SINGAPURA: Seorang pengedar dadah di Singapura dihukum gantung hari ini, yang juga hukuman mati pertama dijalankan republik itu sejak 2019, kata aktivis.
Rayuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia tempatan serta antarabangsa supaya tertuduh diberi pengampunan tidak dilayan oleh kerajaan.
Kumpulan aktivis bimbang akan berlakunya gelombang hukuman mati dan selepas seorang lelaki Malaysia yang kurang upaya mental turut gagal dalam rayuan terakhirnya untuk hukuman mati baru-baru ini.
Menurut Kirsten Han, seorang aktivis terkemuka Singapura yang menentang hukuman mati, Abdul Kahar Othman, 68, yang dijatuhi hukuman mati pada 2015, menjalani hukuman terbabit hari ini.
"Berehatlah dengan aman. Kita semua harus malu dengan apa yang dilakukan kerajaan terhadap kita hari ini," katanya menerusi Twitter.
Seorang ahli kumpulan sokongan bagi ahli keluarga yang dihukum mati di Singapura mengesahkan kepada AFP bahawa hukuman mati itu sudah dilaksanakan.
Beliau yang enggan dikenali berkata, pihaknya sedang menunggu jenazah untuk dikebumikan di salah sebuah tanah perkuburan Islam di republik itu.
Sementara itu, pihak berkuasa Singapura belum memberikan sebarang pengesahan sehingga kini.
Menurut Perkhidmatan Penjara Singapura, pada 2019, republik itu melaksanakan hukuman mati terhadap empat pesalah.
Singapura mempunyai undang-undang berkaitan dadah antara yang paling tegas di dunia, namun berdepan tekanan daripada kumpulan hak asasi manusia supaya memansuhkan hukuman mati.
Pihak berkuasa bagaimanapun menegaskan bahawa hukuman mati kekal sebagai penghalang yang berkesan terhadap pengedaran dadah, sekali gus membantu mengekalkan Singapura sebagai salah satu tempat paling selamat di Asia.
Menurut Transformative Justice Collective, sebuah kumpulan Singapura yang berkempen menentang hukuman mati, Abdul Kahar disabitkan kesalahan mengedar heroin pada 2013 dan dijatuhi hukuman mati dua tahun kemudian.
Menurut kumpulan itu, Abdul Kahar mula dimasukkan ke dalam penjara pada usia 18 tahun dan menghabiskan sisa hidupnya dengan keluar masuk penjara atas kesalahan berkaitan dadah.
Pejabat hak asasi manusia PBB semalam menggesa pihak berkuasa untuk tidak meneruskan hukuman gantung itu, namun tidak diendahkan.
"Kami bimbang berlakunya lonjakan dalam pelaksanaan hukuman tahun ini," katanya menerusi Twitter.
Sebelum ini, Nagaentran K Dharmalingam, warga Malaysia yang kurang upaya mental disabitkan dengan penyeludupan heroin, akan berdepan hukuman gantung dalam masa terdekat selepas gagal dalam rayuan terakhirnya, semalam.
Selain itu, tiga lelaki lain yang dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan dadah turut ditolak rayuan mereka pada awal Mac lalu. - AFP