Selasa, 29 March 2022 | 6:02pm
Jururawat menyuntik dos penggalak vaksin COVID-19 Pfizer di Jakarta, Indonesia. - Foto AFP
Jururawat menyuntik dos penggalak vaksin COVID-19 Pfizer di Jakarta, Indonesia. - Foto AFP

Jakarta mempercepat dos ketiga vaksin menjelang Ramadan

JAKARTA: Timbalan Gabenor Jakarta, Ahmad Riza Patria, memaklumkan bahawa Pemerintah Wilayah DKI kota raya itu sedang bersiap sedia untuk mempercepatkan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 untuk sebulan akan datang.

Agensi berita Kompas semalam melaporkan, ia adalah salah satu langkah sokongan selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan vaksinasi dos penggalak sebagai syarat pulang ke kampung halaman semasa Ramadan.

"Ini bermakna kita mesti segera mempersiapkan diri dalam tempoh sebulan untuk mempercepatkan program inokulasi daripada biasa.

"Dengan keizinan pemerintah pusat, ramai warga kota raya akan pulang ke kampung halaman semasa cuti Aidilfitri dan sudah tentu kita sokong dengan mempercepatkan suntikan dos penggalak,'' katanya.

Antara lain, Pemerintah Wilayah DKI Jakarta akan menyediakan infrastruktur dan menambah pusat vaksinasi termasuk sumber manusia dan seterusnya pengurusan akan diperbaiki.

Riza juga berjanji pihaknya akan terus bekerja keras untuk meningkatkan pencapaian vaksin dos penggalak di Jakarta.

"Ini adalah cabaran untuk kami dapat melaksanakannya dengan baik,'' katanya.

Sementara itu, kes jangkitan coronavirus Indonesia melepasi enam juta mangsa semalam, sejak kes pertama dikesan di republik itu pada Mac 2020.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan COVID-19 di negara itu meningkat sebanyak 2,798 kes jangkitan dan 104 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif 6,001,751 kes jangkitan dan 154,774 kematian.

Setakat ini, lebih 5.7 juta orang dilaporkan sembuh daripada jangkitan COVID-19 di Indonesia, ketika negara itu mempercepatkan proses inokulasi bagi 208.2 juta penduduknya. - AGENSI

Berita Harian X