Khamis, 17 March 2022 | 10:08pm
gmbar fail menunjukkan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha (kanan) mempengerusikan mesyuarat kabinet bersama timbalannya, Prawit Wongsuwan (kiri) di Rumah Kerajaan di Bangkok. - Foto AFP
gmbar fail menunjukkan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha (kanan) mempengerusikan mesyuarat kabinet bersama timbalannya, Prawit Wongsuwan (kiri) di Rumah Kerajaan di Bangkok. - Foto AFP

Thailand dijangka hadapi pilihan raya lebih awal

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti gabungan pemerintahannya hari ini, dalam usaha mengawal perpecahan yang semakin meningkat dan boleh menyaksikan pilihan raya lebih awal.

Prayut Chan-O-Cha, mengetuai pakatan gabungan pelbagai parti, menghadapi kritikan kerana gagal tangani krisis COVID-19 sehingga pasca pandemik masih dalam keadaan lembap dan ketegangan akibat protes pro-demokrasi 2021.

Suasana politik yang bergolak dalam ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu menyaksikan pembangkang yang lemah bergelut mendesak perdana menteri berundur, dengan mengusulkan undi tidak percaya apabila Parlimen bersidang semula Mei depan.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, Isnin lalu berkata pilihan raya awal boleh diadakan selepas Thailand menjadi tuan rumah sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), November depan.

Walaupun timbalan perdana menteri tidak mempunyai kuasa berhubung tarikh pengundian diadakan, ia adalah petunjuk pertama kerajaan bagi pilihan raya negara, beberapa bulan lebih awal daripada penggal Prayut dijadual berakhir pada Mac 2023.

Rentetan kenyataan Prawit, Prayut bagaimanapun enggan mengulas kemungkinan tarikh pilihan raya.

Penganalisis berkata, keputusan mungkin tidak memihak kepada Prayut jika pilihan raya diadakan selepas atau sebelum sidang kemuncak APEC.

Bekas ketua tentera yang mengetuai rampasan kuasa 2014 itu mengetuai gabungan 16 parti yang memegang 248 kerusi berbanding pembangkang yang menguasai 208 kerusi.

Pada Januari lalu, sekumpulan 20 ahli Parlimen dari partinya, Palang Pracharat, dipecat akibat krisis dalaman manakala tujuh menteri daripada parti gabungan muda bulan lalu enggan menghadiri mesyuarat Kabinet berturut-turut susulan lanjutan konsesi kereta api bandar Sky Train Bangkok. - AFP

Berita Harian X